Ahad, 26 Julai 2009

SEJARAH 2 ( BAHAGIAN A )

6. Huraikan rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan dari tahun 1957 hingga tahun 1963.

Pendahuluan (3/2m)

Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, perbezaan jurang ekonomi antara kaum Melayu dengan kaum-kaum lain masih berterusan. Justeru, kerajaan telah memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar dengan matlamat untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi agar dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di Tanah Melayu. Rancangan pembangunan ekonomi dari tahun 1957 hingga tahun 1963 adalah untuk mengatasi masalah sosioekonomi seperti kemiskinan dan ketidakseimbangan ekonomi yang telah wujud akibat dasar kolonial British. Pada keseluruhannya, terdapat dua fasa penting rancangan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan iaitu Rancangan Malaya Pertama (1956 – 1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961 – 1965).

Isi – (20m)

A. Rancangan Malaya Pertama 1956 – 1960 (10m)

a) Rancangan Malaya Pertama ialah rancangan pembangunan ekonomi yang pertama dilaksanakan selepas negara kita mencapai kemerdekaan. Matlamat utama rancangan ini adalah untuk membangunkan sektor ekonomi di luar bandar bagi merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar. Selain itu, rancangan ini juga bermatlamat untuk mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kerajaan memperuntukkan lebih daripada $1000 juta untuk mencapai matlamat rancangan tersebut.

b) Di bawah Rancangan Malaya Pertama bidang-bidang yang diberi tumpuan ialah sektor ekonomi sebanyak 60%, sektor perkhidmatan sosial sebanyak 30% dan sektor awam sebanyak 10%. Dengan tumpuan ini adalah diharapkan bahawa ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

c) Dalam sektor ekonomi perkara-perkara yang diutamakan ialah :

-Penanaman semula getah di ladang dan kebun kecil.
-Pembukaan tanah baru untuk pertanian.
- Kepelbagaian keluaran petani dan nelayan.
- Peluasan perusahaan perlombongan.
- Galakan terhadap pembangunan perusahaan.
- Pembentukan dasar penggunaan tanah yang sesuai.

d) Sektor perkhidmatan sosial pula mengutamakan kemajuan kesihatan, pendidikan, perumahan, pembaikan dan pemodenan dalam sistem perhubungan yang ada serta pembangunan majlis perbandaran dalam jangka masa 10 tahun. Seterusnya, dalam sektor awam diutamakan perkhidmatan yang bercorak ketenteraan dan keselamatan serta pembinaan balai polis, pejabat pos, mahkamah dan rumah kerajaan.

e) Rancangan ini juga bertujuan mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya negara kita tidak terlalu bergantung kepada pengeluaran komoditi getah dan bijih timah sahaja, menambahkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat luar bandar, mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kawasan luar bandar dan bandar, meningkatkan sumber pendapatan negara dan menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan perumahan bagi penduduk luar bandar.

f) Untuk menjayakan Rancangan Malaya Pertama , dua agensi kerajaan telah ditubuhkan iaitu Rural Development Industrial Authority (RIDA) atau Lembaga Pembangunan Industri Luar Bandar dan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. RIDA ditubuhkan sejak tahun 1953 bermatlamat untuk membangunkan dan memajukan penduduk luar bandar melalui pembangunan ekonomi, sosial dan kemudahan kepada penduduk. Antara peranan RIDA yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA) ialah :

- Menggalakkan, membimbing dan melatih orang Melayu dalam sektor perdagangan dan perindustrian.

- Memberi pinjaman kepada usahawan Melayu yang ingin memulakan perniagaan.

- Menggalakkan orang Melayu mengusahakan perusahaan kecil di luar bandar berasaskan kegiatan tradisional seperti kilang padi, perusahaan kampung pemprosesan makanan dan buah-buahan.

- Memperkenalkan program latihan bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan penduduk luar bandar, terutamanya golongan belia.

- Menyediakan bantuan modal teknikal bagi kaum Bumiputera untuk menceburi bidang perusahaan dan perniagaan.

g) FELDA pula ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai badan berkanun yang bertangggungjawab melaksanakan pembangunan tanah dan petempatan di luar bandar. Pada amnya, FELDA dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara-perkara berikut :

- Membuka tanah-tanah baru untuk penanaman getah dan kelapa sawit.

- Menempatkan penduduk luar bandar dalam skim FELDA yang disediakan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, klinik dan sekolah.

- Memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah atau tidak cukup tanah.

- Meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar yang kebanyakannya menyara hidup sebagai petani.

h) Secara keseluruhannya, skim FELDA telah ditanam dengan kelapa sawit sebanyak 59.6 % dan getah sebanyak 40.4 %. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar ditubuhkan pada tahun 1959 yang diketuai oleh Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Kementerian ini bertanggungjawab menjalankan tugas menyelaras, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan di kawasan luar bandar. Agensi RIDA dan FELDA telah diletakkan di bawah kementerian ini untuk menggiatkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

i) Pada keseluruhannya, Rancangan Malaya Pertama kurang mencapai matlamatnya kerana pada masa itu negara masih menghadapi ancaman komunis. Sebanyak 54.5% daripada peruntukan rancangan ini terpaksa digunakan untuk keselamatan negara bagi menghadapi ancaman komunis. Pada masa yang sama, negara menghadapi masalah kewangan akibat kejatuhan harga getah dan bijih timah sedangkan kedua-dua komoditi ini merupakan sumber pandapatan utama bagi kerajaan.

B. Rancangan Malaya Kedua 1961 – 1965 (10m)

a) Rancangan Malaya Kedua dilaksanakan dengan tujuan untuk meneruskan objektif-objektif Rancangan Malaya Pertama seperti penyediaan lebih banyak kemudahan asas dan menggalakkan kepelbagaian ekonomi di kawasan luar bandar. Selain itu, beberapa matlamat baru diperkenalkan setelah menyedari kepincangan Rancangan Malaya Pertama dan beberapa masalah yang perlu diberi pertimbangan.
b) Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $3,180 juta untuk menjayakan Rancangan Malaya Kedua. Antara tujuan-tujuan baru yang ada ialah usaha mempelbagaikan ekonomi dan pertanian supaya tidak terlalu bergantung kepada getah dan bijih timah, memesatkan lagi perusahaan pembuatan supaya dapat mengatasi masalah pengangguran dalam negara dan meninggikan pengeluaran bahan-bahan makanan.

c) Di bawah Rancangan Malaya Kedua, FELDA telah memainkan peranan penting dalam mempergiatkan rancangan pembukaan tanah dan petempatan wilayah untuk memberikan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat luar bandar. Antara tahun-tahun 1956 hingga 1963, FELDA telah membuka kawasan-kawasan tanah yang luas. Setiap skim FELDA meliputi kawasan seluas 1600 – 2000 hektar. Getah ataupun kelapa sawit telah ditanam, sementara perumahan dan kemudahan-kemudahan lain juga disediakan.

d) Masalah besar yang dihadapi oleh pekebun-pekebun kecil ialah pemasaran hasil tanaman mereka. Untuk mangatasi masalah ini Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah ditubuhkan oleh kerajaan.FAMA ditubuhkan dengan tujuan untuk memperbaiki dan mempertingkat sistem penyimpanan dan pemasaran hasil pertanian, terutama yang dihasilkan oleh petani di luar bandar.

e) Seterusnya, objektif-objektif lain penubuhan FAMA ialah :

- Menjamin pasaran hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit, kelapa dan
koko.

- Mengurangkan monopoli orang tengah.

- Menentukan harga yang berpatutan kepada petani.

- Memberi dorongan kepada petani supaya menambahkan pengeluaran.

f) Dua strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam melaksanakan Rancangan Malaya Kedua ialah :

- Penyertaan dan penglibatan rakyat dalam proses perancangan dan pelaksanaan.

- Perancangan program oleh kerajaan berdasarkan permintaan rakyat setempat.

g) Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein telah menubuhkan Bilik Gerakan Negara yang berpusat di Kuala Lumpur untuk membuat rancangan pembangunan ekonomi. Bilik Gerakan ini juga ditubuhkan di setiap pejabat daerah seluruh negara. Pegawai Daerah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program pembangunan di daerah masing-masing.Bilik Gerakan Negara mengadakan kawalan rapi terhadap pembangunan ekonomi dengan mengumpulkan segala perangkaan, peta dan carta yang menunjukkan kemajuan setiap kawasan.

h) Maklumat-maklumat yang dikumpulkan dimuatkan dalam Buku Merah yang mengandungi peta, carta dan butir-butir kemajuan tentang projek-projek pembangunan luar bandar yang sedang dijalankan. Selain itu, jentera pentadbiran di peringkat negeri, daerah dan mukim telah ditubuhkan untuk menggerak, mengesan dan menjayakan rancangan pembangunan.

Kesimpulan (2/3m)
Jelaslah di sini menunjukkan bahawa kerajaan memang mengambil langkah yang positif dalam usaha meninggikan taraf hidup masyarakat luar bandar, dan menghapuskan atau merapatkan jurang ekonomi antara penduduk peribumi di kawasan luar bandar dengan penduduk di bandar. Walaupun usaha yang dilakukan oleh kerajaan tidak berjaya sepenuhnya, namun setidak-tidaknya usaha dan inisiatif kerajaan adalah berhasil mencapai tujuan dan matlamatnya. Perkembangan ekonomi luar bandar lebih menampakkan kejayaan dalam Rancangan Malaya Kedua kerana dengan penubuhan FAMA membolehkan petani menjual hasil pertanian mereka dan menambahkan pendapatan

SEJ 2 ( BAHAGIAN A)

5 Bincangkan perubahan-perubahan perlembagaan di Sabah dan Sarawak antara tahun 1840-an hingga merdeka.

Pendahuluan. (3/2m)

Syarikat Borneo Utara British (SBUB) menguasai Sabah pada tahun 1881. Pentadbiran mereka di Sabah dilakukan dengan menggabungkan pentadbiran British dengan institusi-institusi tempatan dalam pentadbiran awam Sabah. Sementara di Sarawak pemerintahan Raja Putih pada tahun 1840an adalah bersifat monarki mutlak. Namun demikian, sistem pemerintahan tradisional juga diteruskan. Selepas berlaku penyerahan pentadbiran kepada kerajaan British pada tahun 1940an pentadbiran di Sabah dan Sarawak mengalami perubahan-perubahan sehingga merdeka.

Isi – (20m)

A. Perubahan Pentadbiran di Sabah, 1881 hingga 1946 (10m)

a) Sabah yang ditadbir oleh SBUB merupakan sebuah syarikat awam yang mempunyai hubungan dengan Kerajaan British melalui ‘ Protectorate Arrangement’.Struktur pentadbirannya terdiri daripada Pengerusi, Pengarah Urusan dan Lembaga Pengarah.Pembesar-pembesar tempatan juga memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri.

i) Gabenor

Gabenor di Sabah dilantik oleh pengarah SBUB dengan persetujuan Kerajaan Inggeris. Gabenor Sabah yang pertama ialah W.H.Treacher . Gabenor dibantu oleh sebuah Majlis Penasihat terdiri daripada pegawai-pegawai kanan syarikat seperti Setiausaha Kerajaan, Bendahari dan Ketua Pasukan Keselamatan. Untuk memudahkan pentadbiran Gabenor Sabah dibahagikan kepada 5 unit pentadbiran yang dikenali sebagai Residensi, antaranya Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Pedalaman
.
ii) Residen

Ketua Residensi dipanggil Residen. Setiap residensi dibahagikan kepada 7 daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah. Residen bertanggungjawab menjaga keamanan, mengutip cukai dan perbendaharaan serta keadilan disetiap negeri.

iii) Daerah

Setiap daerah diketuai oleh seorang Pegawai Daerah berbangsa Eropah dan dibantu oleh Ketua Pegawai Anak Negeri. Antara tugas-tugas Pegawai Daerah ialah menjalankan tugas-tugas keamanan, mengendalikan keadilan , mengutip cukai, membahagikan tanah dan menguruskan hal pertanian.


iv) Majlis Penasihat Ketua Anak Negeri

a) Pada tahun 1915 sebuah Majlis Penasihat Ketua-Ketua anak Negeri ditubuhkan. Majlis ini berfungsi sebagai orang tengah antara kerajaan dengan rakyat. Tugas lain ialah menjadi pembantu kanan Pegawai Daerah, menentukan pertanian yang seharuskan dijalankan dan menguruskan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat tempatan. Di Sabah orang-orang tempatan Islam dan bukan Islam mempunyai ketua-ketua mereka masing-masing.

b) Ini bermakna SBUB memerintah kaum Bumiputera melalui ketua-ketua mereka masing-masing. Ketua-ketua ini mentadbir orang-orang tempatan melalui mahkamah-mahkamah tempatan. Mereka diberi kuasa kehakiman dalam mahkamah-mahkamah tempatan dan dibenarkan mengadili kes-kes jenayah orang-orang tempatan sahaja. Terdapat juga pegawai-pegawai anak negeri yang dilantik sebagai Penolong Residen. Walaupun ketua-ketua Anak Negeri mempunyai kuasa-kuasa tertentu, tetapi kuasa sebenarnya terletak di tangan Residen dan Pegawai-pegawai Daerah.

v) Majlis Orang Tua

a) Di peringkat kampung Orang Tua dilantik oleh SBUB untuk menjaga pentadbiran kampung. Antara tugas-tugas Orang Tua ialah menjadi hakim mahkamah peribumi dan mengadili kes-kes berkaitan dengan warisan dan tanah serta menghadiri Durbar yang diadakan di Sandakan pada tahun 1887.

b) Majlis Orang Tua merupakan satu badan penting di bawah SBUB yang merupakan perjumpaan tahunan antara Ketua-ketua Anak Negeri . Majlis ini merupakan penghubung antara SBUB dengan rakyat. Ahli-ahlinya terdiri daripada Gabenor, Setiausaha Gabenor, Residen Pantai Barat Sabah, semua ketua tempatan gred 1 dan sembilan ketua tempatan.

vi) Mahkamah Anak Negeri

a) Diwujudkan secara tradisional dalam kalangan penduduk peribumi Sabah. Ia dikekalkan semasa pentadbiran SBUB. Jawatan ini dikekalkan untuk membolehkan pihak SBUB mendapat sokongan pemimpin-pemimpin tempatan. Mahkamah ini diketuai oleh seorang Ketua Anak Negeri yang bertindak sebagai hakim tempatan . Mahkamah ini megendalikan kes-kes yang berkaitan dengan hukum adat dan syariah.

v) Majlis Mesyuarat Undangan

a) Ia ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Penasihat . Fungsi majlis ini ialah untuk memperoleh pandangan pelbagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Ia dianggotai 7 ahli rasmi dan 4 orang ahli tidak rasmi. Ahli tidak rasmi diwakili oleh kaum Cina dan kaum peladang di Pantai Timur dan Pantai Barat.



Perubahan Pentadbiran British di Sabah 1946 hingga 1963

a) Pada 15 Julai 1946, Sabah diserahkan kepada kerajaan British. Sebab penyerahan ini disebabkan KBBU tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang mencukupi untuk mentadbir Sabah semasa Perang Dunia ke-2. Pentadbiran British di Sabah diketuai oleh seorang Gabenor dengan dibantu sebuah Majlis Penasihat.

b) Pada Oktober 1950 Perlembagaan baru telah diperkenalkan . Mengikut perlembagaan ini, Gabenor dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Undangan Negeri. Majlis Eksekutif mempunyai 9 orang ahli yang bertugas menasihatkan Gabenor atas hal-hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Majlis Mesyuarat Undangan mempunyai 22 orang ahli, sementara 4 orang ahli terdiri daripada penduduk tempatan. Ahli-ahli Majlis adalah dilantik oleh Gabenor.

c) Pada tahun 1952 sebuah Majlis Tempatan telah ditubuhkan. Majlis Tempatan yang pertama diasaskan di Daerah Kota Belud, Sipitang 1955, Papar 1956. Tujuan Majlis Tempatan ditubuhkan ialah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam pentadbiran kawasan masing-masing. Majlis ini bertanggungjawab dalam hal-hal seperti kewangan, pendidikan,kesihatan,bekalan elektrik serta pertanian dan penternakan. Majlis Tempatan kemudian diubah kepada Majlis Daerah.


B. Pentadbiran Sarawak 1841hingga 1946 (10m)

i) Pentadbiran James Brooke

a) Sarawak adalah di bawah pemerintahan Raja Putih yang mengamalkan pemerintahan monarki. Pentadbiran beliau telah mengubahsuai sistem Barat dengan menggabungkannya dengan unsur tempatan. James Brooke mengekalkan jawatan ketua Melayu Sarawak sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya seperti Dato’ Patinggi, Dato’ Temenggung, Dato’ Bandar dan Dato’ Imam. Pembesar-pembesar ini dibenarkan memungut cukai di kawasan masing-masing tetapi dikehendaki menyerahkan sebahagian daripada hasil yang mereka pungut itu kepada pentadbiran Brooke.

b) Pada tahun 1855 James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi. Majlis ini bertujuan membuat dasar pentadbiran Sarawak. Majlis ini memberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk membuat dasar-dasar pentadbiran. Majlis ini bersidang sebulan sekali dengan James Brooke sebagai presidennya dan anggotanya terdiri daripada orang Eropah dan orang Melayu. James Brooke telah mengenakan cukai ke atas barangan yang dibawa dari luar untuk mengatasi masalah kewangan di Sarawak.

ii) Pentadbiran Charles Brooke

a) Semasa pemerintahan Charles Brooke 1868-1917 beliau meneruskan sistem pemerintahan tradisional James Brooke masih diteruskan.Terdapat juga perubahan dilakukan dalam pentadbiran iaitu dengan menubuhkan sebuah Majlis Negeri pada tahun 1865. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tempatan. Majlis ini boleh meluluskan undang-undang serta membuat dasar pentadbiran Sarawak, tetapi tidak boleh menggubal undang-undang.

b) Sarawak pula dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu setiap bahagian ditadbir oleh seorang Residen Eropah yang dibantu oleh Pegawai Anak Negeri, pegawai rendah dan ketua-ketua suku. Residen bertanggungjawab dalam pentadbiran umum dan berperanan sebagai Presiden mahkamah.

c) Di peringkat kampung telah dilantik ketua Melayu dan Cina untuk mentadbir kampung mereka. Mereka ini bertanggungjawab memelihara keamanan dan memungut cukai.

Pentadbiran Charles Vyner Brooke

a) Pada tahun 1941 Charles Vyner Brooke telah menubuhkan sebuah perlembagaan baru . Perlembagaan ini menyerahkan kuasa mutlak Charles Vyner Brooke kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi akan berfungsi sebagai Majlis Eksekutif sementara Majlis Negeri sebagai Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi akan mempunyai lima orang ahli. Manakala Majlis Negeri 25 orang ahli.Raja Brooke melantik sendiri ahli ke dua-dua majlis tersebut. Sarawak pula dijanjikan kemerdekaan.Perlembagaan Sarawak tidak dapat dilaksanakan kerana serangan Jepun pada tahun 1941.

b) Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British. Perlembagaan 1941 dikekalkan selama 10 tahun yang pertama.Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk peribumi dalam pemerintahan. Majlis ini berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan pungutan cukai.Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching.

c) Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri.

d) Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Pilihan raya untuk memilih Majlis Tempatan ini terus dikekalkan sehingga Sarawak menyertai Malaysia.





Kesimpulan (2/3m)

Perubahan-perubahan pentadbiran yang berlaku di Sabah dan Sarawak telah memberi impak kepada masyarakat tempatan dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Perubahan politik di Sarawak, umpamanya telah menyebabkan kuasa pembesar-pembesar peribumi semakin terhakis. Oleh itu ,timbul beberapa pemberontakan seperti peristiwa penentangan Syarif Masahor, Rentap, Abdul Ghafur, dan Banting. Manakala, di Sabah berlaku kebangkitan Mat Salleh dan Antanum. Mereka kebanyakannya kehilangan pengaruh dan kuasa ke atas sumber ekonomi dan politik. Semuanya telah diambil alih oleh pemerintah Barat yang memperkenalkan undang-undang dan perlembagaan baru. Kuasa diserahkan kepada golongan pegawai-pegawai yang dilantik oleh kerajaan.

SEJARAH 2 BAHAGIAN A

. Jelaskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras ancaman komunis sehingga tahun 1960.

Pendahuluan (3/2 m)

Pada tahun 1948 Parti Komunis Malaya (PKM) telah bertindak semakin ganas dan mengambil keputusan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata kerana gagal mengambil alih kuasa secara perlembagaan. Strategi gerakan komunis di Tanah Melayu dibahagi kepada tiga peringkat, iaitu melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mewujudkan zon bebas daripada kerajaan dan melancarkan serangan secara terbuka. Kemuncak kepada keganasan PKM, ialah pembunuhan 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 19 Jun 1948. Sehubungan dengan perisytiharan darurat beberapa langkah telah diambil untuk membanteras masalah komunis, iaitu pengisytiharan undang-undang darurat, perang psikologi, rancangan Briggs dan sebagainya.

Isi - (20 m)

i) Perisytiharan Undang-undang darurat

a) Langkah pertama yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengisytiharkan undang-undang darurat pada 7 Julai 1948. Tujuan undang-undang darurat diperkenalkan adalah untuk mengawal keselamatan Tanah Melayu. Melalui undang-undang darurat kerajaan telah mengharamkan parti-parti politik atau pertubuhan berhaluan kiri untuk menghalang mereka daripada terlibat dalam kegiatan komunis. Pemimpin-pemimpin politik berhaluan kiri diberkas dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Antara parti-parti politik yang dibubarkan ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) dan beberapa badan lain seperti Angkatan Pemuda Insaf ( API ) dan Angkatan Wanita Sedar ( AWAS).

b) Melalui undang-undang darurat kerajaan boleh menangkap tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis. Kerajaan juga boleh membuang negeri sesiapa yang dianggap menganggu atau mengugat keamanan negara. Bagi orang Cina dan India mereka yang terlibat dengan kegiatan komunis akan dihantar pulang ke China atau India. Pada akhir tahun 1948 seramai 5100 telah ditahan di bawah Undang-undang Penahanan. Tempat penahanan yang terbesar ialah di Taiping dan Batu Gajah , Perak.

c) Melalui undang-undang darurat, setiap penduduk di Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas mesti mendaftar diri dan wajib memiliki kad pengenalan yang harus dibawa bersama-sama. Langkah ini diambil bertujuan untuk memudahkan pasukan keselamatan mengenal pasti setiap penduduk dan membezakan mereka dengan komunis dan setiap langkah mereka dapat diawasi. Melalui kad pengenalan pihak kerajaan dapat mengesan orang yang memberi bantuan kepada komunis. Kad pengenalan juga digunakan untuk mendapatkan bekalan makanan dan tapak rumah di kawasan kampung baru.

d) Melalui penguatkuasaan Undang-undang Darurat, kerajaan juga memperkenalkan beberapa peruntukan khas yang membolehkan seseorang ditahan tanpa had masa dan tanpa bicara. Undang-undang darurat memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memenjarakan seseorang sehingga sepuluh tahun, jika memiliki dokumen subversif atau membantu kegiatan komunis, menembak sesiapa sahaja jika berada di kawasan hitam, memindahkan sesiapa saja yang didapati bersubahat dengan komunis dan mengadakan sekatan makanan di tempat-tempat tertentu serta menangkap sesiapa sahaja tanpa waran bagi melemahkan kesatuan-kesatuan sekerja yang didapati menyokong komunis.

ii) Langkah Ketenteraan

a) Melalui undang-undang darurat juga kerajaan telah memperkuatkan bidang ketenteraan. Pada tahun 1952, Sir Gerald Templer telah bertindak menambahkan pasukan tentera. Pasukan Polis Persekutuan telah diperbesarkan dan terdiri daripada 70,000 orang. Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi 7 batalion. Pasukan Pengawal Kampung ditambah menjadi 250,000 orang.Tentera kerajaan juga dibantu oleh tentera-tentera dari negara-negara Komanwel seperti Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur. Hasil daripada penambahan kekuatan tentera ini pihak kerajaan dapat melancarkan serangan lebih agresif dan dapat mematahkan gerakan komunis di hutan.

b) Di samping itu, kerajaan juga menyediakan pasukan-pasukan polis bantuan diadakan khas untuk mengawal kawasan-kawasan lombong bijih timah dan ladang getah yang sering menjadi sasaran gerila-gerila komunis. Perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan-kawasan di mana kegiatan komunis semakin aktif. Perintah berkurung ini memudahkan pasukan keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis. Kerajaan British juga mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di merata-rata tempat di bawah kawalan pasukan keselamatan untuk memastikan supaya komunis tidak mendapat bekalan senjata dan makanan.

c) Pada tahun 1952 ,Sir Gerald Templer telah memperkenalkan ‘kawasan hitam dan ‘kawasan putih’. Kawasan yang komunis bergiat aktif akan diisytiharkan sebagai kawasan hitam. Kawasan ini akan dikawal rapi dan pasukan tentera akan ditambah. Kawasan-kawasan yang mana komunis dikalahkan dan kegiatan komunis berkurangan telah diisytiharkan sebagai ‘kawasan putih’. Kawasan putih yang pertama diisytiharkan ialah Melaka.

d) Kerajaan British memperkenalkan perkhidmatan negara yang mewajibkan belia mendapat latihan ketenteraan dan berkhidmat dalam tentera jika perlu. Perintah berkurung juga dikuatkuasakan di kawasan-kawasan yang kegiatan komunis masih aktif. Perintah berkurung ini memudahkan pasukan keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis.

iii) Rancangan Briggs

a) Pada tahun 1950, Leftenan Jeneral Sir Harold Briggs dilantik menjadi Pengarah Gerakan di Tanah Melayu. Tugas utamanya ialah menamatkan keganasan komunis dan menamatkan darurat dan melaksanakan koordinasi antara pihak perkhidmatan awam dengan pasukan keselamatan . Bagi mengatasi masalah komunis Briggs telah mengumpulkan para setinggan yang bertaburan di pinggir-pinggir hutan ke petempatan berkelompok yang dikenali sebagai Kampung-kampung Baru. Tujuan utama Kampung-kampung Baru diperkenalkan ialah memutuskan hubungan komunis dengan masyarakat setinggan yang menjadi tali barut.

b) Kebanyakan setinggan yang dipindahkan ke Kampung-kampung Baru, ialah orang Cina. Hubungan mereka dengan komunis diputuskan sama sekali kerana Kampung-kampung Baru dipagar kawat dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan supaya kawalan lebih terjamin. Rancangan Briggs membawa serampang dua mata iaitu Masyarakat Min Yuen terlindung daripada ancaman dan ugutan pengganas komunis dan pihak kerajaan dapat melemahkan kegiatan komunis kerana mereka akan kekurangan maklumat, senjata, bekalan makanan dan ubat-ubatan. Rancangan ini juga dikenali sebagai ‘Gerakan Kelaparan’.

c) Melalui Rancangan Briggs pembinaan Kampung-kampung Baru telah mula dilaksanakan di Johor dan sehingga akhir tahun 1952 sebanyak 480 buah kampung baru di seluruh Tanah Melayu telah wujud. Hampir separuh daripada kampung baru terletak di Perak dan Johor. Kebanyakan Kampung Baru disediakan kemudahan asas seperti sekolah, klinik ,pasar, bekalan air dan elektrik, balai polis rumah ibadat dan kemudahan-kemudahan lain.Rancangan Briggs telah berjaya menjamin perlindungan nyawa harta benda rakyat dan menyekat komunis daripada terus mengganas dan menakut-nakutkan penduduk dan dapat menghalang penyusupan fahaman komunis.

d) Selain Rancangan Kampung-kampung Baru, Briggs juga telah membentuk Jawatankuasa Kerja Perang di peringkat Persekutuan ,negeri dan daerah. Jawatankuasa Kerja Perang terdiri daripada Lef.Jeneral Briggs, Ketua Setiausaha, Pesuruhjaya Polis dan komender-komender angkatan tentera darat dan udara Tanah Melayu. Jawatankuasa Kerja Perang ini bekerjasama dengan pegawai-pegawai tadbir, tentera dan polis. Pengerusi jawatan kuasa ini di peringkat negeri ialah Menteri Besar dan di peringkat daerah ialah pegawai daerah. Penubuhan Majlis Perang Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Perang telah mewujudkan koordinasi antara semua pihak yang terlibat dalam perancangan gerakan menentang komunis.

iv) Perang Saraf

a) Selain itu juga, Sir Malcolm MacDonald iaitu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris telah membentuk sebuah Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada awal tahun 1949. Jawatan kuasa ini berusaha mengikis perasaan perkauman. Ini terbukti berjaya apabila berlakunya gabungan antara UMNO dan MCA dalam Perikatan 1952. Dengan gabungan ini perselisihan faham antara kaum Melayu dan Cina dapat diatasi. Kedua-dua kaum ini telah bekerjasama membasmi kegiatan komunis.

b) Sir Gerald Templer telah melancarkan pelbagai perang psikologi untuk menarik ‘hati dan fikiran rakyat bagi membanteras kegiatan komunis. Pada tahun 1952 , beliau telah meminda peraturan-peraturan kewarganegaraan. Syarat-syarat mendapat kewarganegaraan dilonggarkan supaya lebih ramai orang bukan Melayu terutama kaum Cina menjadi warga negara Tanah Melayu. Langkah ini diambil bertujuan supaya orang-orang Cina tidak menyokong dan memihak kepada komunis.

c) Langkah seterusnya ialah menggalakkan penubuhan parti-parti politik bukan Melayu ditubuhkan. Penubuhan MCA oleh Tan Cheng Lock dan beberapa pemimpin Cina lain telah menyatukan orang Cina dan mengalihkan perhatian orang Cina daripada PKM kepada Tanah Melayu. Parti politik yang berorientasikan Tanah Melayu seperti MCA dapat mengalihkan pandangan masyarakat Cina yang sebelum ini tertumpu kepada kegiatan politik di negara China.

d) Kerajaan Inggeris juga mengambil langkah supaya Tanah Melayu berkerajaan sendiri. Sebagai langkah pertama pilihan raya Majlis Perbandaran telah diadakan . Tujuannya adalah untuk mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam kalangan rakyat. Pilihan raya pertama diadakan bagi Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dalam pilihan raya ini UMNO dan MCA membentuk Perikatan.

e) Di samping itu, hadiah wang tunai yang lumayan juga ditawarkan kepada orang ramai yang memberikan maklumat yang membolehkan kerajaan menangkap pengganas komunis mulai April 1955. Ganjaran yang ditawarkan berbeza mengikut jawatan dalam PKM. Jawatan Setiausaha Agung ( Chin Peng ) RM 250,000, Ahli Biro Politik RM 200,000, Ahli Jawatankuasa RM 150,000, Ahli Jawatan kuasa Negeri dan Daerah RM 120,000 dan anggota biasa RM 2,500 –RM 2000. Kerajaan juga menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada ahli komunis bagi memulakan penghidupan baru jika mereka menyerahkan diri secara sukarela. Tawaran ini dilakukan dengan menggugurkan risalah dari udara ke dalam hutan. Akibat langkah-langkah ini ancaman komunis semakin berkurangan.

v) Rundingan Baling

a) Rundingan Baling diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman , David Marshall dan Tan Cheng Lock. Manakala, pihak komunis diwakili oleh Chin Peng, Chen Tian dan Rashid Maidin. Dalam rundingan ini pihak kerajaan telah menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan anggota komunis yang menyerah diri akan dilayan sebagai rakyat biasa. Pihak komunis pula menuntut agar kerajaan mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik yang sah dan boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya. Kerajaan enggan mengiktraf PKM dan ini menjadi faktor kepada kegagalan rundingan Baling kerana PKM tidak mahu menerima tawaran kerajaan selagi kerajaan enggan memenuhi tuntutan mereka.

Kesimpulan (2/3 m)

Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi membanteras ancaman komunis. Usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan telah berjaya menyekat ideologi komunis daripada disebarkan di Tanah Melayu. Walaupun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan berjaya menyekat pengaruh komunis ia telah banyak mengorbankan nyawa, wang dan masa. Setelah komunis dapat ditewaskan kerajaan British telah menyediakan Tanah Melayu bertaraf berkerajaan sendiri dan seterusnya memberkani kemerdekaan kepada Tanah Melayu tanpa perlu berjuang secara kekerasan.

SEJARAH KERTAS 2 BAHAGIAN A

3. Bincangkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pendahuluan ( 3/2 m )

Getah berasal dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877, 22 spesis getah telah dihantar ke Singapura, sebahagiannya ditanam di Botanical Gardens Singapura dan sebahagiannya ditanam di kediaman Sir Hugh Low di Kuala Kangsar. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Lantaran itu mereka lebih tertumpu kepada tanaman lain. Tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu

Isi - ( 20 markah )

i) Usaha H. N. Ridley

a) Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan perusahaan getah di Tanah Melayu. Beliau telah mengembara ke seluruh Tanah Melayu memujuk orang ramai supaya menanam getah. Dengan usahanya jugalah banyak penyelidikan telah dijalankan tentang cara penanaman getah yang betul, kesesuaian tanah dan pembekuan getah. Hasil penyelidikan telah diedarkan kepada pengusaha getah malalui Straits And FMS Agriculturul Bulletin. Akibat daripada usaha-usahanya itu menyebabkan beliau digelar “Ridley Getah atau Ridley Gila”.

b) Pada tahun 1897 beliau telah memperkenalkan sistem torehan ibedem atau sistem torehan tulang ikan herring. Sistem torehan ini dapat mengelakkan pokok daripada rosak dan melanjutkan usia pokok. Beliau juga memperkenalkan cara yang lebih selamat untuk mengangkut anak-anak pokok ke tempat yang lebih jauh, iaitu dengan cara anak-anak pokok dibalut dengan arang yang lembab bagi mengelak daripada mati akibat kekurangan air. Usaha-usaha Ridley menampakkan hasil apabila pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 getah mula ditanam secara meluas. Contohnya pada tahun 1896, 16 hektar tanaman getah diusahakan oleh Tan Choy Yan. Menjelang tahun 1904, tanaman getah berskala besar mula ditanam di Kedah dan di Johor. Sehingga tahun 1911, terdapat lebih kurang satu juta ekar tanah telah ditanam dengan getah dan pada tahun 1930 getah telah menjadi eksport penting Tanah Melayu.

ii) Kemerosotan harga kopi.

Antara tahun-tahun 1896-1900, harga kopi telah mengalami kemerosotan di pasaran dunia akibat pengeluaran yang berlebihan. Kopi juga mengalami kemerosotan akibat serangan penyakit kupu-kupu Beehawk. Kejatuhan harga kopi menyebabkan peladang-peladang beralih tumpuan kepada tanaman getah. Bagi menggalakkan tanaman getah kerajaan Perak telah menjual 32, 000 biji getah dan 60,000 anak benih getah untuk ditanam di seluruh ladang di Tanah Melayu.





iii) Permintaan terhadap getah yang meningkat.

a) Pada awal abad ke-20 permintaan terhadap getah meningkat akibat daripada Revolusi Perindustrian yang berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Pelbagai barangan telah dicipta yang berasaskan getah. Contohnya perkembangan industri kereta menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat kerana getah digunakan untuk membuat tayar. Pada tahun 1888, J.B. Dunlop telah mencipta tayar angin. Pada tahun 1910, Amerika Syarikat telah menghasilkan 500,000 buah kenderaan. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap getah meningkat khususnya dari Amerika Syarikat. Pada tahun 1907, Amerika Syarikat telah membeli 37% daripada getah dunia dan telah meningkat kepada 77% pada tahun 1917.

b) Pada tahun 1839 Goodyear telah menemui kaedah mencampurkan getah dengan belerang dan haba supaya keras. Melalui kaedah ini dapat menghalang getah daripada menjadi lembut dan meleket apabila panas; menjadi keras dan rapuh apabila sejuk. Kaedah ini dkenali “Vulcanization”. Kejayaan kaedah ini telah menambahkan kepelbagaian penggunaan getah seperti kasut getah, pakaian kalis air, barangan elektrik, peralatan perubatan, getah pemadam, paip air dan lain-lain.

c) Permintaan yang tinggi terhadap getah telah meningkatkan harga getah. Contohnya pada tahun 1890 harga getah $1.30 sepaun telah meningkat kepada $2.50 sepaun pada tahun 1906. Harga getah tertinggi pernah dicapai ialah $ 5.50 sepaun pada tahun 1910. Peningkatan terhadap harga getah telah menggalakkan pelabur Eropah dan Cina menanam getah secara ladang. Antara ladang yang dibuka oleh pelabur Eropah ialah Guthrie, Harrison and Crossfield (Golden Hope), Socfin, Sime Darby dan Syarikat Getah Dunlop. Sementara itu, orang mula menggantikan tanaman kopi dengan tanaman getah. Perluasan tanaman getah telah menyebabkan pengeluaran getah Tanah Melayu meningkat. Contohnya pada tahun 1905 Tanah Melayu mengeluarkan 400 tan getah dan telah meningkat kepada 11,000 tan pada tahun 1911. Pada tahun 1922 Tanah Melayu mengeluarkan sebanyak 212,000 tan getah.

iv) Tenaga buruh yang murah

a) British telah membawa masuk secara beramai-ramai orang India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Kedatangan orang-orang India telah dapat membekalkan buruh yang murah kepada sektor getah. Pada tahun 1883 Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan kerajaan India untuk membawa masuk buruh India secara terancang

b) Orang India dibawa masuk melalui sistem kontrak dan sistem kangany. Pada tahun 1908 sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Jumlah ini telah meningkat kepada 139, 480 orang pada tahun 1918. Kehadiran buruh dengan jumlah yang besar telah membolehkan pemodal-pemodal Eropah membuka ladang-ladang getah yang lebih besar.

v) Penyelidikan getah secara saintifik

a) Pada tahun 1905, Jabatan Pertanian telah ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap getah. Pada tahun 1907 Pertubuhan Penanaman Getah ditubuhkan. Pertubuhan ini menjalankan kerjasama dengan kerajaan British bagi menjalankan penyelidikan untuk memperbaki hasil dan mutu getah serta menambah keluasan kawasan getah. Pada tahun 1926 kerajaan telah menubuhkan Institut Penyelidikan Getah. Institut ini telah menghasilkan cara-cara yang lebih baik bagi penanaman getah, penggunaan baja, kawalan serangga, memproses susu getah, pisau menoreh yang sesuai, cara mengawet dan memekatkan susu getah.

vi) Galakan daripada Kerajaan

a) Kerajaan British memberi galakan kepada perusahaan getah. Pada tahun 1897 kerajaan telah mengenakan cukai yang rendah ke atas tanah yang ditanam dengan getah, iaitu sebanyak 10 sen bagi setiap 0.405 hektar bagi sepuluh tahun yang pertama dan selepas 10 tahun cukai dinaikkan kepada 50 sen. Duti ke atas getah hanyalah 2.5% bagi setiap lima belas tahun yang pertama dari tarikh kerja-kerja tanaman dimulakan.
b) Selepas tempoh tersebut duti tersebut tidak akan melebihi 5%. Pada tahun 1899 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak $ 4000 bagi menjalankan eksperimen getah dan tanaman lain. Pada tahun 1904 syarikat-syarikat Eropah diberi keutamaan memperoleh pinjaman khas dengan kadar faedah yang rendah. Sebanyak $ 500, 000 diperuntukkan bagi menjayakan skim itu. Pada tahun 1908 jumlah itu ditambah tiga kali ganda. Kerajaan British juga memberi hak milik kekal kepada mereka yang membuka tanah untuk menanam getah.

vii) Penglibatan pelabur Eropah

a) Penglibatan pelabur Eropah menyumbang kepada perkembangan perusahaan getah. Penglibatan mereka telah menyebabkan tanaman getah secara besar-besaran terlaksana. Antara syarikat Eropah yang melibatkan diri dengan perusahaan getah ialah Guthrie, Dunlop, Sime Darby, Harrison dan Crosfield. Penglibatan syarikat Eropah telah menyebabkan pengeluaran getah di Tanah Melayu meningkat dengan pesatnya. Cntohnya pada tahun 1914 lebih daripada setengah bekalan getah dunia datangnya dari Tanah Melayu.

Kesimpulan (2/3 m)

Jelaslah bahawa pengenalan tanaman getah di Tanah Melayu telah berjaya menjadikan Tanah Melayu sebagai pengeluar utama getah dunia. Getah mula menjadi sumber ekonomi penting Tanah Melayu seperti juga bijih timah. Walau bagaimanapun pada tahun-tahun 1920-an dan 1930-an perusahaan getah mengalami kemerosotan akibat kemerosotan ekonomi dunia sehinggakan kerajaan British pada ketika itu terpaksa mengambil beberapa langkah bagi mengatasinya.

SEJARAH KERTAS 2 ( HUKUM ADAT )

1. Bincangkan hukum adat yang diamalkan di Malaysia sebelum campur tangan British.

Pendahuluan (3/2m)

Sebelum campur tangan British, masyarakat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telahpun mempunyai undang-undang mereka tersendiri. Undang-undang ini dipanggil hukum adat. Hukum adat merupakan peraturan dan undang-undang yang diamalkan secara turun-temurun. Sesiapa yang melanggarnya boleh dihukum. Hukum adat ini dilaksanakan bagi menjamin hak anggota masyarakat dan memastikan masyarakat hidup dalam keadaan aman dan selesa. Di Tanah Melayu terdapat dua hukum adat yang diamalkan iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Di Sarawak hukum adat yang diamalkan ialah Adat Dusun Tunggu manakala di Sabah pula ialah Adat Tenom, Adat Dusun dan Adat Temogun.

Isi - (20m)

i. Adat Perpatih ( 7m)

a) Adat Perpatih diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera dan dibawa ke Tanah Melayu oleh orang Minangkabau. Adat ini berkembang di Negeri Sembilan dan Naning pada abad ke-17.

b) Dari segi politik Adat Perpatih bersifat demokrasi, iaitu perlantikan pemerintah dibuat dari bawah, iaitu Anak buah memilih buapak, buapak memilih lembaga , lembaga memilih Undang dan Undang akan melantik Yamtuan Besar (Raja). Ini bermakna Yamtuan Besar tidak mempunyai hak dalam soal perlantikan pembesar kerana perlantikan itu dibuat oleh para pembesar yang berada di hierarki yang lebih ke bawah. Selain itu keputusan yang dibuat oleh Yamtuan Besar juga adalah berdasarkan keputusan bersama dengan Undang.

c) Dari segi kekeluargaan dan perkahwinan, Adat Perpatih mengamalkan hidup secara bersuku-suku, iaitu hidup secara berkeluarga dengan ahli-ahlinya terdiri daripada satu ikatan sedarah sedaging. Setiap suku mempunyai nama tersendiri seperti Biduanda, Batu Hampar, Paya Kumbuh, Mungkal, Tiga Nenek, Seri Melenggang, Seri Lemak, Batu Belang, Tanah Datar, Anak Acheh, Anak Melaka, Tiga Batu.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Perpatih mengamalkan eksogami iaitu tidak membenarkan perkahwinan sesama suku. Selepas berkahwin, si suami akan meninggalkan keluarganya kerana si isteri akan membawanya tinggal di rumah pusaka (rumah gadang) atau rumah sendiri yang dibina berhampiran rumah pusaka ibu si isteri. Jika berlaku penceraian atau si isteri meninggal dunia, maka si suami akan kembali semula kepada sukunya yang asal manakala anak-anaknya mereka bukan menjadi hak keluarga asas pasangan suami isteri tersebut tetapi hak rumpun ibunya.

e) Adat Perpatih juga bersifat matriarchal/matrilineal, iaitu mengutamakan kedudukan wanita. Wanita dianggap sebagai pengasas suku. Harta pusaka turun-temurun adalah kepunyaan suku. Pewarisan harta diberatkan di sebelah ibu dan anak perempuan menjadi asas wujudnya suku dan ini menjadikan wanita kaya dan berkuasa. Si suami tidak berhak ke atas harta pusaka.

f) Dari segi undang-undang jenayah, hukuman dalam Adat Perpatih bersifat pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbangrasa. Orang yang membuat kesalahan akan didenda berdasarkan kesalahannya dan mangsa diberi ganti rugi. Contohnya jika seseorang dari suku itu dicederakan, dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau kambing sebagai ganti darah yang mengalir, besar atau kecil binatang itu bergantung kepada besar atau kecil luka yang dialami. Bagi kes kecurian hukumannya ialah memulangkan semula barang yang dicuri atau dibayar ganti rugi. Bagi kesalahan membunuh, si pembunuh mesti menanggung hidup keluarga si mati. Hukuman bunuh hanya boleh dikenakan ke atas kesalahan serius seperti mendurhaka. Adat Perpatih berpegang kepada konsep orang yang melakukan jenayah boleh mengubah perangai mereka. Pelaksana undang-undang biasanya dijalankan oleh Buapak atau Lembaga kecuali hukuman bunuh yang hanya boleh dijatuhi oleh Yamtuan Besar

ii. Adat Temenggung (7m)

a) Adat ini berasal dari Palembang, Sumatera dan diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan. Adat ini telah diresapi oleh unsur-unsur Islam mengikut mazhab Shafie. Adat ini dipercayai dibawa ke Tanah Melayu oleh keturunan Diraja Palembang. Disebar luaskan ke seluruh Tanah Melayu kecuali Negeri Sembilan dan kawasan Naning di Melaka.

b) Dari segi politik Adat Temenggung bersifat autokrasi,iaitu kuasa terletak di tangan pemerintah atau raja. Raja atau sultan terlalu istimewa dan kuasanya diperkukuhkan dengan konsep daulat dan durhaka. Kuasa raja dikaitkan dengan kesaktian dan sesiapa yang melanggarnya terkena tulah raja. Raja mempunyai keistimewaan tertentu yang dilambangkan dengan penggunaan warna tertentu dan bahasa dalam yang hanya dikhaskan untuknya. Raja atau sultan mempunyai kuasa mutlak dan berhak melantik pembesar sama di peringkat negeri, jajahan, mukim mahupun kampung. Jawatan sultan adalah bersifat warisan iaitu putera sulungnya akan dilantik menjadi sultan jika berlaku kemangkatan sultan kecuali di Perak.

c) Dari segi pembahagian harta Adat Temenggung mengutamakan kaum lelaki (bersifat patriarchal) yang dianggap akan melanjutkan keturunan sesebuah keluarga. Sifat ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Anak lelaki akan mewarisi harta pusaka dengan kadar 2/3 berbanding anak perempuan. Ini berdasarkan tanggungjawab anak lelaki yang lebih besar dalam keluarga berbanding anak perempuan. Jika berlaku pencerian lazimnya cara pembahagian harta suami isteri dibuat mengikut hukum syarak. Harta yang didapati semasa perkahwinan dipanggil harta sepencarian. Bagi harta sepencarian, ia akan dibahagikan dua sama banyak kepada isteri yang diceraikan dan jika isteri yang diceraikan tidak bekerja si isteri hanya berhak mendapat 1/3 bahagian sahaja.

d) Dalam soal perkahwinan Adat Temenggung mengamalkan endogami, iaitu membenarkan perkahwinan dengan sesiapa sahaja dengan syarat ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Seseorang perempuan yang berkahwin dikehendaki tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapa suaminya kerana si isteri lazimnya akan menjadi ahli keluarga si suami.

e) Dari segi Udang-undang Adat Temenggung bersifat menghukum atau pembalasan. Oleh itu pelaksanaan sesuatu undang-undang dibuat dengan tegas. Ia bertujuan untuk memberi ikhtibar kepada orang lain dan pembalasan kepada si pesalah. Contoh kesalahan membunuh akan dihukum bunuh. Dalam Adat Temenggung sultan atau pembesar yang akan menjadi pelaksana undang-undang. Pembesar boleh mengendalikan semua kesalahan kecuali yang melibatkan hukuman bunuh. Kesalahan yang melibatkan hukuman bunuh hanya dikendalikan oleh sultan.

iii. Hukum adat masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak (6m)

a) Masyarakat di Sabah dan Sarawak juga mempunyai adat yang tersendiri seperti di Tanah Melayu bagi menjamin keharmonian hidup. Masyarakat bumiputera Sarawak mengamalkan Adat Tunggu (denda dan kesalahan) dan Undang-undang Mahkamah Melayu. Hukum adat mengawal soal bertanam padi dan tempat kediaman orang Iban. Hukum adat menentukan tanah kampung halaman adalah kepunyaan bersama sesuatu kumpulan masyarakat. Semua penduduk Rumah Panjang dalam kumpulan tersebut berhak bercucuk tanam, memburu, dan mengambil hasil hutan di kawasan kampung mereka. Antara kesalahan yang dikenakan hukuman denda ialah sesiapa yang gagal melaporkan sebarang bencana, kecemasan , tidak bekerjasama dalam sesuatu tindakan yang telah dipersetujui, dan pelawat yang memasuki rumah panjang tanpa menanggalkan parangnya.

b) Di peringkat kampung adat dilaksanakan oleh ketua kampung atau Majlis Orang Tua-Tua. Dalam mengendalikan sesuatu perbicaraan biasanya Pengeran Temenggong atau Datuk Orang Kaya yang mewakili Sultan Brunei dan dua orang wakil suku yang akan bertindak sebagai hakim. Masyarakat Sabah mengamalkan Adat Dusun, Adat Tenom, dan Adat Timogun. Hukum adat ini dikendalikan oleh oleh “Orang Tua”

Kesimpulan (2/3m)
Hukum adat memainkan peranan penting dalam mengekalkan peraturan hidup. Ia menjamin keharmonian dalam masyarakat, menentukan hak dan mengawal tingkah laku individu dalam masyarakat. Namun selepas kedatangan penjajah undang-undang adat semakin dipinggirkan kerana British memperkenalkan undang-undang Barat . Undang-undang barat mula mengantikan peranan undang-undang adat di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Hanya bahagian-bahagian tertentu undang-undang adat dikekalkan oleh British dengan sedikit penyesuaian bagi mengambil hati penduduk tempatan dan mengelakkan penentangan daripada penduduk tempatan.

SEJARAH STPM KERTAS 2 BAHAGIAN A

1. Jelaskan perubahan peranan raja atau sultan sebelum dan semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Pendahuluan. (3/2m)

Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan peranan penting dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan dalam politik, ekonomi dan sosial. Walaupun kuasa sultan kian terhakis pada zaman penjajahan British namun sultan tetap menjadi unsur penting dalam sistem pemerintahan di Tanah Melayu.

Isi – (20m)

A. Peranan sultan sebelum penjajahan British (10m)

i. Politik

a. Sultan sebagai ketua kerajaan

Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah

b. Peranan sultan melantik pembesar

Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu dalam kalangan putera-putera baginda.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua negara asing. Sebarang tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan



d. Sultan berperanan sebagai ketua tentera.

Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain.

ii. Ekonomi

a) Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya. Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih timah) dari Kelang daripada Raja Mahdi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang dikenakan di Muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

b) Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial

a) Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat. Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi membolehkannya memerintah dengan berkesan. Kewibawaan seseorang sultan bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

b) Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu


B. Perubahan peranan sultan akibat penjajahan (10m)

a) Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem Residen. Di bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa yang tertinggi dalam pemerintahan di negeri-negeri Melayu. British memperkenalkan pentadbiran berbentuk birokrasi, iaitu ditadbir oleh sekumpulan pegawai. Sultan telah kehilangan kuasa mentadbir yang dinikmati sebelum ini.

b) Sultan kehilangan kuasa mutlak. British memperkenalkan sistem perundangan baru. Baginda tidak lagi berkuasa menjatuhkan hukuman. British memperkenalkan sistem perundangan yang lebih teratur dengan melantik hakim-hakim untuk melaksanakan sistem kehakiman.

c) Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri. Walaupun sultan menjadi Residen Majlis Negeri tetapi semua keputusan Majlis Negeri dibuat oleh residen. Sultan kehilangan kuasa sebagai ketua pentadbir. Walaupun sultan masih menjadi ketua negara, namun kuasa mentadbir berada di tangan residen.

d) Sultan kehilangan kekuasaan terhadap ekonomi kepada Residen British. Urusan percukaian, import-eksport tidak lagi berada di bawah kekuasaan sultan tetapi di tangan British.British secara beransur-ansur memperkembangkan ekonomi kapitalis dan secara beransur-ansur ekonomi tradisional terhakis.

e) Pada zaman penjajahan British sultan juga tidak dibenarkan mempunyai tentera sendiri. Pentadbir British telah membentuk pasukan polis dan askarnya sendiri. Hal ini bermakna bidang keselamatan terlepas daripada kekuasaan sultan. Sultan hanya memainkan peranan dalam upacara kerajaan negeri sahaja.

f) Pengenalan Persekutuan pada tahun 1896 menyebabkan sultan kehilangan kuasa. Kuasa berpusat di tangan Residen Jeneral. Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam soal agama dan adat istiadat orang Melayu sahaja. Kekuasaan sultan semakin tergugat apabila British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Walaupun kuasa sultan dipulihkan semula dengan pengenalan Persekutuan 1948 tetapi kuasa sebenar masih di tangan British.

Kesimpulan (2/3m)

Dari perbincangan di atas adalah jelas bahawa sultan memainkan pernan yang cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Namun kedatangan penjajah British telah merubah sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu. Peranan sultan yang lebih luas dan berwibawa sebelum kedatangan penjajah telah terhakis dengan kedatangan penjajah. Kedatangan penjajah dan penguasaannya ke atas Tanah Melayu menyebabkan pengenalan sistem pentadbiran dan perekonomian baru yang menjadikan sultan kehilangan kuasa dan hanya sekadar lambang kekuasaan, kuasa sebenar di tangan Residen.

Jumaat, 17 Julai 2009

TEMA 1 MANUSIA & MASYARAKAT(SEJARAH 1 BAHAGIAN B STPM)

KONSEP MANUSIA MENGIKUT AL-QURAN

Pengenalan

Perkataan manusia dalam Bahasa Melayu adalah menyamai istilah yang disebutkan dalam al-Quran, iaitu al-Ins, al-Insan, al-Nas dan al-Basyar. Nama-nama ini adalah merujuk kepada manusia yang telah diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain, manusia adalah pemerintah, pemilik dan pengguna bagi semua kejadian sama ada di darat, di laut atau di udara. Sejak abad ke-4 M, orang-orang Barat begitu terpengaruh dengan teori evolusi yang menyebutkan bahawa manusia berasal daripada beruk. Teori ini mula diperkenalkan oleh beberapa orang ahli falsafah Greek termasuklah Aristotle, Anazimander dan Epidocles. Namun demikian, teori ini dipertikaikan oleh saujana sains Islam dan juga Barat. Mereka menganggap ia bukanlah suatu kajian yang bersifat fakta sebaliknya merupakan satu ideologi sahaja.

Manusia Menurut al-Quran

Manusia menurut al-Quran adalah makhluk yang dikurniakan akal, roh, dan jasad. Ia adalah sebaik-baik kejadian berbanding dengan malaikat dan binatang. Malaikat hanyalah dikurniakan akal tetapi tidak dikurniakan nafsu sedangkan binatang hanya dikurniakan nafsu tanpa akal. Sungguhpun begitu kedudukan manusia akan menjadi lebih rendah daripada binatang jika mereka gagal menggunakan akal dengan baik sebaliknya menjadi hamba kepada nafsu. Menurut al-Quran, semua manusia adalah berasal dari keturunan Nabi Adam dan Adam pula dijadikan daripada tanah. Oleh itu, kaedah mantik atau logik manusia juga berasal daripada tanah. Kebanyakan ulama tafsir berpendapat proses pembentukan bayi dalam kandungan juga bermula dari saripati tanah atau disebut sebagai nutfah di dalam al-Quran. Pendapat ini ternyata benar kerana semua sumber makanan dan minuman adalah berpunca daripada tanah. Berdasarkan kenyataan ini, jelaslah menunjukkan bahawa konsep manusia menurut Islam adalah berbeza dengan pandangan yang pernah dikemukakan oleh para pengkaji antropologi.

Fungsi Manusia Menurut al-Quran

Beribadat kepada Allah

Menurut al-Quran, manusia berfungsi dan berperanan tersendiri. Fungsi utama manusia dicipta ialah untuk beribadat kepada Allah. Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan beberapa jenis ibadat yang perlu dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk fardu ain atau fardu kifayah. Ibadat fardu ain ialah ibadat yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang menepati syarat-syarat yang telah ditentukan, contohnya sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Ibadat fardu kifayah pula ialah ibadat yang jika dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu, maka individu dan kumpulan yang lain tidak wajib lagi melakukannya, contohnya melakukan sembahyang jenazah, berniaga, mengajar dan sebagainya.

Memelihara Alam

Selain itu, manusia juga berperanan untuk memelihara alam ini dengan sebaik-baiknya. Allah telah mencipta alam ini untuk kepentingan manusia seluruhnya. Oleh itu, manusia boleh menggunakan ciptaan ini untuk meneruskan kehidupan mereka di dunia. Sungguhpun begitu, manusia perlu menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah dengan menggunakan ciptaan tersebut hanya untuk perkara-perkara yang boleh membawa kepada kebaikan sahaja. Mereka tidat boleh melakukan kerosakan di muka bumi ini sehingga membawa keburukan kepada manusia atau makhluk lain termasuklah binatang.

Mengenali di Antara Satu Sama Lain

Manusia juga perlu berbaik-baik di antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Allah mencipta manusia dengan pelbagai puak supaya mereka dapat mengenali di antara satu sama lain. Mereka tidak boleh berbangga diri, sombong dan takbur. Sebaliknya mereka hendaklah sentiasa berbaik-baik dan bersatu-padu di dalam menghadapi sebarang masalah. Perbezaan agama juga tidak boleh dijadikan alasan untuk manusia bermusuhan. Islam hanya membenarkan penganutnya memusuhi orang bukan Islam sekiranya mereka dengan jelas menunjukkan penentangan atau cuba membahayakan orang-orang Islam. Dalam keadaan biasa hubungan baik perlu dikekalkan di antara mereka.

Memakmurkan Muka Bumi

Selain dari memelihara alam ini manusia juga berfungsi untuk memakmurkan muka bumi ini supaya mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik. Akal dan pancaidera yang dianugerahkan kepada manusia hendaklah digunakan untuk meneliti dan berfikir bagi memanfaatkan semua ciptaan yang sedia ada. Banyak rahsia kejadian Allah yang boleh disingkap oleh manusia dengan menggunakan akal yang ada. Di sebalik kejadian tumbuh-tumbuhan misalnya terdapat pelbagai jenis penawar, di dasar lautan juga terdapat pelbagai khazanah, begitu juga di dalam perut bumi. Hanya manusia yang menggunakan akal dengan sepenuhnya akan dapat menikmati semua ini. Selain untuk dirinya ia juga dapat memberi faedah kepada orang lain.

Mentauhidkan Allah

Manusia yang perlu mentauhidkan Allah, dalam konteks ini manusia ditegah sekeras-kerasnya melakukan sebarang bentuk perbuatan yang boleh membawa kepada syirik atau menyekutukan Allah. Syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah melainkan dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Bagi mengelakkan berlakunya syirik, manusia perlu mengenali Allah. Manusia boleh mengenali Allah melalui sifat-sifat-Nya. Terdapat 20 sifat yang wajib diketahui oleh manusia.

Mentadbir / Menjadi Khalifah di Muka Bumi

Fungsi manusia yang seterusnya ialah mentadbir atau menjadi khalifah di muka bumi ini. Fungsi ini sesuai dengan kedudukan manusia sebagai makhluk yang terbaik. Manusia hendaklah sentiasa bersikap adil sama ada terhadap dirinya sendiri atau orang lain. Manusia hendaklah memastikan tidak berlaku kemungkaran di muka bumi sebaliknya hendaklah memastikan berlakunya kebaikan. Hal ini sesuai dengan tugas yang diamanahkan oleh Allah iaitu Amar Makruf dan Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Kesimpulan

Berdasarkan huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa manusia mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Sekiranya manusia berjaya melaksanakan tanggungjawab tersebut sepenuhnya maka mereka akan dapat menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan. Jika sebaliknya yang berlaku maka kemusnahan dan huru-hara pasti tidak dapat dielakkan

PERBANDINGAN CIRI-CIRI KETAMADUNAN BARAT & CIRI-CIRI KETAMADUNAN ISLAM(SEJARAH 1 BAHAGIAN A&B STPM)

Pengenalan

Tamadun dari perspektif Barat dikatakan bermula dengan kelahiran bandar-bandar.Hal ini adalah merujuk kepada perkataan civilization berasal daripada perkataan Latin yang berkaitan dengan city atau civitas yang bermaksud bandar atau kota. Kelahiran tamadun awal manusia dikatakan bermula apabila manusia tinggal menetap dengan membina perkampungan. Perkampungan berkembang menjadi bandar-bandar dan dari sinilah manusia mencipta sistem tulisan, mencipta teknologi, mempercayai agama dan sebagainya.

Manakala dari perspektif Islam pula tamadun dikaitkan dengan beberapa perkataan Arab.Seperti tamadun, hadara dan umran. Ibn Khaldun melalui bukunya al-muqaddimah menggunakan perkataan umran yang bererti kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun menghuraikan maksud tamadun sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehiduapan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.

Ciri-Ciri Ketamadunan Barat

Hidup menetap membawa kepada kelahiran bandar dan seterusnya negara. Menurut Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History, tamadun adalah jenis kebudayaan yang terdapat di bandar-bandar. Bandar menjadi pusat industri, pentadbiran, perdagangan dan perkhidmatan. Tamadun-tamadun awal seperti Mesopotamia, Mesir, Yunani dan lain-lain lahir akibat perkembangan bandar-bandar.

Sistem tulisan mula dicipta dalam memenuhi keperluan kehidupan seperti untuk merekod sesuatu dengan menggunakan simbol-simbol tertentu. Penggunaan sistem tulisan telah menggalakkan aktiviti keilmuan, ekonomi dan pentadbiran.

Organisasi sosial lahir apabila manusia hidup bermasyarakat bagi memenuhi keperluan hidup. Mereka terpaksa bergantung di antara satu sama lain. Pada umumnya raja menduduki tangga teratas diikuti oleh golongan pendeta dan bangsawan, Seterusnya diikuti rakyat biasa yang bebas seperti petani dan artisan. Golongan yang paling bawah ialah hamba abdi.

Agama dan kepercayaan menjadi unsur penting dalam pembentukan sesuatu tamadun. Dalam tamadun awal agama berkaitan dengan sistem pemerintahan iaitu raja dianggap mendapat mandat dan restu dari tuhan atau dewa-dewa untuk memerintah. Jenis kepercayaan pada zaman tamadun awal adalah berbentuk politeisme atau mempercayai banyak tuhan. Unsur-unsur alam sekitar disembah untuk mengelakkan malapetaka.

Pengkhususan pekerjaan melambangkan pekerjaan yang khusus dalam sesuatu masyarakat yang bertamadun. Masyarakat dibahagikan kepada petani, buruh, tentera, hamda, artisan dan sebagainya dalam menyediakan keperluan hidup masyarakat. Sesetengah masyarakat menjadikan pekerjaan sebagai hak warisan dan dengan itu tidak berlaku mobiliti sosial dalam masyarakat tersebut.

Sains dan teknologi muncul dari penemuan-penemuan baru seperti penciptaan kalendar, roda, alat menyukat, pembinaan bangunan, jalan raya, terusan dan lain-lain. Kemajuan sains dan teknologi menjadi ukuran dalam menentukan bangsa-bangsa yang bertamadun seperti tamadun Mesir yang terkenal dalam teknologi pembinaan, tamadun Mesopotamia dalam bidang astronomi dan pembinaan terusan dan lain-lain


Ciri-ciri Ketamadunan Islam

Tamadun Islam juga mengaitkan kota atau bandar sebagai tempat bermulanya tamadun. Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan kota Madinah sebagai tempat bermulanya perkembangan tamadun Islam. Khalifah-khalifah yang memerintah selepas itu juga telah mendirikan kota-kota di seluruh negara Islam. Antaranya Kufah, Baghdad, Basrah, Fustat dan Qairawan.

Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam, seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan manusia. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas utama dalam tamadun Islam. Wahyu pertama bermula dengan perkataan iqra’ atau bacalah menggambarkan agama Islam menggalakkan umatnya supaya mementingkan ilmu pengetahuan termasuklah membaca dan menulis. Dari ilmu pengetahuanlah sesuatu masyarakat manusia itu akan berkembang maju dan hidup secara bertatasusila.

Keadilan amat penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Adil dari sudut pandangan Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Golongan yang lemah seperti golongan miskin dalam masyarakat Islam perlu diberi bantuan dan perhatian supaya mereka dapat hidup seperti anggota masyarakat yang lain. Golongan hamba pula diberi layanan yang baik dan digalakkan untuk diberi kebebasan. Islam juga lebih menekankan persamaan taraf antara sesama manusia.

Aqidah yang benar iaitu mempercayai Allah yang Maha Esa dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dianggap ciri utama manusia yang bertamadun. Tanpa aqidah yang benar manusia hidup dalam kesesatan seperti masyarakat Arab Jahiliah.

Masyarakat Islam terdiri daripada berbilang bangsa telah membentuk sebuah masyarakat yang memainkan pelbagai peranan. Perbezaan peranan ini telah melahirkan pembahagian kerja dan seterusnya mewujudkan suatu bentuk ekonomi bandar. Islam mewajibkan setiap individu dalam masyarakat menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka dikehendaki sentiasa membaiki kerja mereka serta bekerjasama dengan orang lain demi kepentingan masyarakat. Setiap individu bebas memilih peranan mereka sebagai anggota masyarakat dan dengan itu berlaku mobiliti sosial kerana mereka tidak terikat dengan pekerjaan warisan seperti dalam kebanyakan tamadun yang terdahulu.

Tamadun Islam telah memberikan sumbangan yang paling cemerlang dalam bidang sains dan teknologi. Islam telah melahirkan ramai tokoh intelektual yang mngemukakan banyak penemuan baru. Antaranya seperti al-Biruni, al-Kindi dan Ibn Sina. Di samping menggalakkan perkembangan sains dan teknologi, Islam tidak mengabaikan aspek-aspek akhlak. Akhlak yang mulia merupakan amalan hidup manusia yang bertamadun. Bagi agama Islam masyarakat yang tidak berakhlak tidak dianggap bertamadun walaupun mereka maju dalam aspek kehidupan yang lain. Nabi Muhammad s.a.w diutuskan ke dunia bertujuan untuk menyempurnakan akhlak manusia yang rosak pada zaman jahiliah

KONSEP NEGARA KOTA(SEJARAH 1 STPM)

Konsep Negara Kota

Negara kota berasal daripada perkataan Greek iaitu acropolis yang membawa maksud sebidang tanah, sekumpulan bangunan atau satu perlembagaan. Sistem pemerintahannya berasaskan beberapa unit politik dan agama. Kemunculan negara kota juga dikaitkan dengan kewujudan pelbagai kemudahan seperti struktur bangunan iaitu istana, kuil dan tembok pertahanan. Selain itu terdapat juga sistem perparitan dan sebagainya. Penduduk sesebuah negara kota terdiri daripada satu keluarga atau kaum yang dianggap sebagai warganegara.

Ahli falsafah Yunani, Aristotle berpendapat bahawa negara kota ini muncul dan berkembang secara evolusi iaitu dari petempatan yang diasaskan oleh keluarga berkembang menjadi kampung, bandar dan akhirnya menjadi negara kota.

Negara kota juga bermaksud suatu komuniti manusia yang sedar tentang perjuangan kepentingan bersama dan pencapaian objektif-objektif bersama. Kesedaran menghasilkan unsur penyatuan dan perpaduan ahli-ahli komuniti yang masih mengekalkan sikap kedaerahan. Nilai semangat kebebasan, kemerdekaan dan autonomi tempatan dipuji tinggi dan sentiasa dipertahankan. Maka jarang wujud proses penggabungan kepada suatu unit politik yang lebih besar daripada negara kota. Jadi peperangan antara negara kota adalh satu perkara biasa.

SISTEM PEMERINTAHAN EMPAYAR (SEJARAH STPM 1)

Konsep empayar

Entiti politik yang dikenali empayar biasanya berasal daripada idea imperialisme yang mencetuskan penaklukan Negara-negara lain. Imperialisme, sebenarnya membayangkan hasrat sesuatu Negara untuk menguasai bangs-bangsa lain. Dalam perkembangan empayar terdapat dua jenis utama iaitu empayar daratan yang berdasarkan penguasaan tanah yang luas seperti empayar Rom dan China dan empayar Samudera (atau maritime) yang bergantung kepada penguasaan laut dan pelabuhan-pelabuhan strategic seperti Srivijaya dan empayar Portugal di Asia.

Ciri-ciri utama sistem pemerintahan empayar

Sistem pemerintahan empayar lazimnya berlaku dalam tiga bentuk iaitu dinasti ( China, India, Mesir ), perkongsian kuasa ( Rom ), Liga ( Trumvirate-kongsi kuasa) contohnya Athens.1.

1.Pelaksanaan konsep hegemoni

Iaitu penduduk-penduduk yang hidup di dalam empayar itu mengalu-alukan pemerintahannya. Rakyat empayar bersedia menerima sistem pemerintahan itu kerana mereka menghormati kuasanya, undang-undang yang adil, keadaan yang aman dan faedah-faedah yang berpunca daripada itu, sistem kebudayaan yang tinggi serta peluang-peluang ekonomi yang boleh memajukan mutu kehidupan dan kemakmuran mereka. Pelaksanaan hegemoni bermaksud juga memerintah dengan persetujuan daripada rakyat yang taat setia kepada kerajaan mereka. Objektif kerajaan empayar ialah menggalakkan asimilasi dan integrasi rakyat empayar. Contoh yang nyata sekali ialah empayar Rom, bangsa-bangsa asing yang dikuasai diberikan kewarganegaraan Rom dan dibenarkan berkhidmat dalam pelbagai peranan pentadbiran Rom dan wilayah-wilayahnya.

2. Menggunakan kekuasaan ketenteraan

Sekiranya hegemoni tidak berjaya mengekalkan perpaduan, para pemerintah biasanya mentadbir empayarnya dengan kekuasaan tentera. Tentera digerakkan untuk menjamin keamanan empayar dan mengelakkan pemberontakan berlaku. Kuasa tentera sering kali disokong dengan pembinaan pelbagai kemudahan seperti kubu-kubu di Eropah Barat pada zaman feudal dan pembinaan Tembok Besar di Negara China. Sistem jalan raya dan pengangkutan juga dimajukan untuk memudahkan pergerakan tentera. Pembinaan jalan raya di Rom telah memudahkan pergerakan tentera Rom ke wilayah-wilayah untuk mematahkan sesuatu pemberontakan di dalam empayar dan juga mempertahankan empayarnya daripada serangan orang-orang Germanic.

3. Pemusatan kuasa kerajaan

Walaupun sesebuah empayar dibahagikan kepad wilayah-wilayah tetapi kuasa kerajaan biasanya terletak di ibu kota empayar. Pemusatan politik adalah selaras dengan pembahagian msyarakat empayar kepada dua kategori iaitu golongan yang berkuasa dan golongan yang ditakluki. Di pusat pemerintahan jawatan-jawatan yang penting dikuasai oleh golongan atasan yang taat setia kepada maharaja manakala di peringkat wilayah ketua pemerintah adalah wakil dari ibu kota yang dibantu oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

4. Wujudnya sistem birokrasi

Apabila hal ehwal pentadbiran menjadi lebih kompleks akibat daripada peluasan empayar lagi, maka sebuah birokrasi yang terdiri daripada pelbagai jabatan diwujudkan untuk melicinkan pentadbiran empayar. Penubuhan birokrasi adalah nyata sekali di empayar Rom dan empayar China.

5. Konsep kehomogenan empayar

Hampir kesemua rejim empayar berhasrat menyatukan empayarnya dengan dasar-dasar untuk memupuk kehomogenan kebudayaan, masyarakat, agama, bahasa dan ekonominya. Misalnya empayar Iskandar Zulkarnain menggunakan kebudayaan Yunani sebagai kayu ukur untuk menyatukan budaya Yunani dan Parsi dengan mewujudkan beberapa pusat Bandar yang berperanan sebagai pusat penyebaran kebudayaan Yunani ke atas penduduk-penduduk tempatan. Perkahwinan campur juga digalakkan antara orang-orang Yunani dengan Parsi untuk membina suatu masyarakat yang seragam. Pada Dinati Han di China ideology Confucianisme dijadikan asas untuk menyatukan masyarakat China. Di Tamadun Rom, budaya Graeco-Roman dianggap sebagai budaya rasmi di seluruh empayar.

6. Memupuk semangat ketahanan mental, fizikal dan spiritual

Contohnya Maharaja Rom dipuja sebagai tuhan. Adalah diketahui bahawa rejim-rejim empayar tidak dapat dikekalkan selama-lamanya. Kemerosotan dan kejatuhan berlaku pada akhirnya disebabkan kelemahan dan gagalnya para pemimpin untuk mengekalkan struktur empayarnya, teknik-teknik dan idea-idea pentadbiran yang ketinggalan zaman, kemerosotan ekonomi serta pemberontakan dan serangan luar.

7. Wujudnya sistem naungan ekonomi.

Contoh negeri-negeri naungan biasanya membayar ufti atau sebahagian daripada hasil diserahkan kepada pemerintah pusat.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya muncul rajim empayar adalah suatu fenomena yang membayangkan psikologi manusia. Menurut Pericles, seorang negarawan Athens pada kurun ke-5 SM, penubuhan empayar adalah adil kerana orang yang kuat haruslah menguasai orang yang lemah. Tetapi prinsip itu adalah bertentangan dengan satu lagi unsur psikologi manusia, iaitu prinsip kebebasan manusia. Jadi empayar adalah suatu sistem kerajaan yang sentiasa bangkit dan jatuh dalam sejarah tamadun manusia.

GEOGRAFI ALAM SEKITAR MANUSIA 2 STPM

Soalan Tema Pembandaran

1. (a) Apakah yang anda faham dengan petempatan setinggan?(5 markah)

(b) Dengan merujuk kepada sebuah bandar besar di Asia, jelaskan faktor-faktoryang menyebabkan wujudnya petempatan setinggan.(10 markah)

(c ) Bedasarkan pendapat anda,cadangkan langkah-langkah yang boleh diambiluntuk mengurangkan masalah petempatan setinggan.(10 markah)


Soalan Kajian Luar

2. Brdasarkan kepada satu kajian luar di mana-mana kawasan kebun kecil yang anda pilih

(a) nyatakan faktor-faktor yang menggalakkan kegiatan ekonomi tersebut.(9 markah)

(b) jelaskan sumbangan aktiviti tersebut kepada penduduk setempat.(8 markah)

( c) Huraikan dampak kegiatan tersebut terhadap alam sekitar.(8 markah)


SKEMA JAWAPAN

1. (a) Maksud petempatan setinggan
- rumah dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan
- di atas tanah persendirian atau kerajaan atau milik swasta
- tidak mengikut peraturan yang ditetapkan
- kawasan penduduk padat
- kedudukan tidak teratur /dipinggir Bandar/tengah Bandar
(5 ciri x 1 markah = 5m)

(b) Faktor-faktor yang meyebabkan wujudnya petempatan setinggan.

migrasi secara besar-besaran dari luar Bandar ke Bandar
ii. masalah kekurangan tempat tinggal di bandar
iii. krisis perumahan – kegagalan menyediakan jumlah rumah yang cukup untuk penduduk bandar yang bertambah
iv. kos hidup yang tinggi- sewa rumah yang tingg
iv. kawasan petempatan yang terhad
vi. kebanjiran pendatang asing
vii. kadar ubanisasi yang pesat yang tidak terkawal- kebanjiran imigran yang berpendidikan rendah dan tidak berkemahiran
viii. ketidaktegasan pihak berkuasa menangani masalah setinggan seperti terlalu bertolak ansur/berperikemanusiaan.(mana-mana 5 x2= 10 m)

Nota : mesti beri contoh satu Bandar utama di Asia
- jawapan umum maksima 5markah sahaja.


(c ) Langkah-langkah untuk mengurangkan masalah petempatan setinggani.
- membina lebih banyak rumah murah/rumah flat/rumah kos rendah untuk mereka yang berpendapatan rendah.
ii. mengambil langkah yang tegas/penguatkuasaan undang-undang ke atas mereka yang membina petempatan haram
iii. pihak syarikat/majikan menyediakan kemudahan tempat tinggal/asrama kepada pekerja
iv. membangunkan kawasan luar Bandar/memodenkan kegiatan ekonomi luar Bandar bagi mengurangkan migrasi golongan yang tidak berpendidikan
v. membina Bandar baru bagi mengurangkan fungsi bandar utama – mengurangkan tumpuan penduduk dan mengurangkan petempatan setinggan.
vi. Dan lain-lain yang sesuai(5x2m = 10 markah)


2. (a) Faktor-faktor yang menggalakkan kegiatan tersebut.

Tajuk/kawasan kajian
- 1Kaedah kajian
- 1Tujuan kajian
- 1Dapatan kajian :

Faktor-faktor yang menggalakkan kegiatan kebun kecil

i. tanih yang sesuai
ii. tenaga kerja cukup
iii. bantuan keajaan
iv. modal yang mencukupi
iv. teknologivi. dll
(mana-mana 3x2 = 6+3 = 9 markah)

(c) Sumbangan kegiatan kebun kecil
i. punca pendapatan
ii. bahan mentah untuk industri
iii. peluang pekerjaan
iv. memajukan kawasan luar Bandar
v. meningkatkan taraf hidup.
vi. Kemajuan system pengangkutan(mana-mana 4 x2 markah = 8 markah)

( c) Dampak kegiatan kebun kecil ke atas alam sekitar :
i. perubahan pandang darat/landskap fizikal
ii. pencemaran sumber-sumber air- racun serangga, baja kimia
iii. hakisan tanah, tanah runtuh. Pembentukan gegalur tanah
iv. kerosakan habitat semula jadi, flora dan fauna untuk kerja-kerja pembesihan
v. kehilangan kesuburan tanah
vi. dll(mana-mana 4 x 2 markah = 8 markah)

GEOGRAFI ALAM SEKITAR MANUSIA(KERTAS 2 STPM)

TEMA PENDUDUK

Soalan1. Berdasarkan Negara Asia Pasifik,
(a)(i) Nyatakan tiga buah negara yang mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi dan dua buah negara yang mempunyai kadar pertumbuhan yang rendah. [5]

(ii) Nyatakan bagaimana kadar pertumbuhan penduduk semula jadi dihitung [2]

(b) Jelaskan kesan pertumbuhan penduduk yang tinggi terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di sesebuah negara Asia Pasifik. [10]

(c) Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar pertumbuhan penduduk. [8]

Skema Jawapan
1. (a) i.Negara mengalami kadar pertumbuhan penduduk tinggi - Bangladesh- Pakistan- India- Indonesia
Negara yang mengalami kadar penduduk rendah - Britain- Sweden= Peranchis- Norway

(a) ii Formula

Peratus Kadar Lahir - Peratus Kadar Mati

Kadar kelahiran Kasar = Jumlah kelahiran
-------------------- x 1000
Jumlah penduduk

Peratus Kelahiran = Kadar Kelahiran Kasar
------------------------ x 100
1000

Kadar Kematian Kasar = Jumlah Kematian
--------------------- x 1000
Jumlah Penduduk
Peratus kematian = Kadar kematian kasar
------------------------ x 100
1000

(b) Kesan petimbuhan penduduk terhadap pembangunan ekonomi

Positif - menyediakan tenaga kerja yang ramai- memajukan sumber alam- meluaskan pasaran

Negatif - kekurangan peluang pekerjaan- masalah kekurangan infrastruktur- taraf hidup rendah/kemiskinan/ kadar upah rendah

(c) Langkah- langkah mengurangkan kadar pertumbuhan penduduk-
Perundangan - had kelahiran,
- dasar keluarga kecil- kempen perancang keluarga
- pendidikan
- pembangunan ekonomi pesat - perindustrian, perkhidmatan
- peningkatan kemudahan asas - pendidikan, kesihatan dll

GEOGRAFI ALAM SEKITAR MANUSIA(STPM KERTAS 2) ULANG KAJI

Tema Penduduk

1. Bincangkan punca-punca migrasi luar bandar ke bandar masih berlaku di kebanyakan negara-negara Asia Tenggara. (8m)

Jawapan;
Faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya migrasi dari luar bandar ke bandar di Asia Tenggara.
Faktor Tolakan :
i. kemiskinan di luar bandar – pendapatan sedikit, tanggungan ramai-mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup di bandar – pendapatan yang lebih tinggi di bandar.
ii. pengangguran di luar bandar- tiada peluang pekerjaan- peluang pekerjaan di luar bandar sangat terhad- hanya sektor pertanian semata-mata.
Faktor Tarikan:
i. peluang pekerjaan yang sangat luas di bandar- dalam pelbagai sektor- perindustrian, pekhidmatan, perdagangan dan perniagaan
ii. melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi yang hanya terdapat di bandar-bandar utama
iii. pelbagai kemudahan sosial yang terdapat di bandar- kemudahan pengangkutan, kemudahan rekreasi, hiburan-menjadi tarikan penduduk luar bandar untuk menikmati kemudahan-kemudahan tersebut

Tema Perindustrian

2. Jelaskan mengapakah industri berat terus berkembang di Malaysia(8M)
Sebab-sebab industri berat berkembang di Malaysia :
i. Dasar kerajaan- menumpukan kepada sektor perindustrian sebagai punca utama KDNK negara – mengurangkan kebergantungan kepada sektor pertanian sebagai pendapatan utama negara
ii. Tenaga buruh yang cukup- buruh asing atau tempatan
iii. Pemindahan tekonologi dari negara maju- khususnya dari negara jepun dalam inbdustri kereta
iv. Bahan mentah yang mudah didapati sama ada tempatan atau import – untuk pembuatan kereta dll
v. Modal yang cukup- modal tempatan atau asing
vi. Pelabuhan/pengangkutan yang baik - bawa bahan mentah masuk, mudah eksport

Tema Pembandaran

3. Huraikan masalah-msalah alam sekitar fizikal yang berlaku akibat proses urbanisasi di sebuah bandar metropolitan di Asia Tenggara.(9M)
Bandar yang dipilih : Kuala Lumpur.
Masalah alam sekitar disebabkan oleh urbanisasi:
i. banjir kilat- parit dan longkang tersumbat.-Permukaan berturap, air larian masuk ke dalam parit dan longkang dengan cepat- longkang, parit dan sungai tidak dapat menampung jumlah hujan yang banyak pada satu-satu masa- banjir kilat
ii. pulau haba- asap kenderaan, gas-gas karbon dioksida, karbon monoksida, bangunan konkrit, bangunan bercermin- pantulan haba matahari- pemanasan setempat- pulau haba
iii. pencemaran air – pembuangan sisa domestik, industri, retoran, hotel ke dalam sungai—sungai tercemar, hidupan akuatik terancam
iv. pencemaran udara/jerebu- asap kenderaan, asap kilang mencemarkan udara kawasan bandar
v. hakisan tanih/tanih runtuh- perluasan kawasan pinggir bandar untuk membina petempatan yang tidak mencukupi di tanah tinggi, kaki bukit, lereng bukit secara tidak terancang- hakisan tanih/tanih runtuh