Jumaat, 17 Julai 2009

PERBANDINGAN CIRI-CIRI KETAMADUNAN BARAT & CIRI-CIRI KETAMADUNAN ISLAM(SEJARAH 1 BAHAGIAN A&B STPM)

Pengenalan

Tamadun dari perspektif Barat dikatakan bermula dengan kelahiran bandar-bandar.Hal ini adalah merujuk kepada perkataan civilization berasal daripada perkataan Latin yang berkaitan dengan city atau civitas yang bermaksud bandar atau kota. Kelahiran tamadun awal manusia dikatakan bermula apabila manusia tinggal menetap dengan membina perkampungan. Perkampungan berkembang menjadi bandar-bandar dan dari sinilah manusia mencipta sistem tulisan, mencipta teknologi, mempercayai agama dan sebagainya.

Manakala dari perspektif Islam pula tamadun dikaitkan dengan beberapa perkataan Arab.Seperti tamadun, hadara dan umran. Ibn Khaldun melalui bukunya al-muqaddimah menggunakan perkataan umran yang bererti kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun menghuraikan maksud tamadun sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehiduapan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.

Ciri-Ciri Ketamadunan Barat

Hidup menetap membawa kepada kelahiran bandar dan seterusnya negara. Menurut Arnold Toynbee dalam bukunya A Study of History, tamadun adalah jenis kebudayaan yang terdapat di bandar-bandar. Bandar menjadi pusat industri, pentadbiran, perdagangan dan perkhidmatan. Tamadun-tamadun awal seperti Mesopotamia, Mesir, Yunani dan lain-lain lahir akibat perkembangan bandar-bandar.

Sistem tulisan mula dicipta dalam memenuhi keperluan kehidupan seperti untuk merekod sesuatu dengan menggunakan simbol-simbol tertentu. Penggunaan sistem tulisan telah menggalakkan aktiviti keilmuan, ekonomi dan pentadbiran.

Organisasi sosial lahir apabila manusia hidup bermasyarakat bagi memenuhi keperluan hidup. Mereka terpaksa bergantung di antara satu sama lain. Pada umumnya raja menduduki tangga teratas diikuti oleh golongan pendeta dan bangsawan, Seterusnya diikuti rakyat biasa yang bebas seperti petani dan artisan. Golongan yang paling bawah ialah hamba abdi.

Agama dan kepercayaan menjadi unsur penting dalam pembentukan sesuatu tamadun. Dalam tamadun awal agama berkaitan dengan sistem pemerintahan iaitu raja dianggap mendapat mandat dan restu dari tuhan atau dewa-dewa untuk memerintah. Jenis kepercayaan pada zaman tamadun awal adalah berbentuk politeisme atau mempercayai banyak tuhan. Unsur-unsur alam sekitar disembah untuk mengelakkan malapetaka.

Pengkhususan pekerjaan melambangkan pekerjaan yang khusus dalam sesuatu masyarakat yang bertamadun. Masyarakat dibahagikan kepada petani, buruh, tentera, hamda, artisan dan sebagainya dalam menyediakan keperluan hidup masyarakat. Sesetengah masyarakat menjadikan pekerjaan sebagai hak warisan dan dengan itu tidak berlaku mobiliti sosial dalam masyarakat tersebut.

Sains dan teknologi muncul dari penemuan-penemuan baru seperti penciptaan kalendar, roda, alat menyukat, pembinaan bangunan, jalan raya, terusan dan lain-lain. Kemajuan sains dan teknologi menjadi ukuran dalam menentukan bangsa-bangsa yang bertamadun seperti tamadun Mesir yang terkenal dalam teknologi pembinaan, tamadun Mesopotamia dalam bidang astronomi dan pembinaan terusan dan lain-lain


Ciri-ciri Ketamadunan Islam

Tamadun Islam juga mengaitkan kota atau bandar sebagai tempat bermulanya tamadun. Rasulullah s.a.w sendiri menjadikan kota Madinah sebagai tempat bermulanya perkembangan tamadun Islam. Khalifah-khalifah yang memerintah selepas itu juga telah mendirikan kota-kota di seluruh negara Islam. Antaranya Kufah, Baghdad, Basrah, Fustat dan Qairawan.

Penggunaan tulisan adalah salah satu ciri penting tamadun Islam. Ia mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam, seterusnya mempergiatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan manusia. Ilmu pengetahuan pula merupakan asas utama dalam tamadun Islam. Wahyu pertama bermula dengan perkataan iqra’ atau bacalah menggambarkan agama Islam menggalakkan umatnya supaya mementingkan ilmu pengetahuan termasuklah membaca dan menulis. Dari ilmu pengetahuanlah sesuatu masyarakat manusia itu akan berkembang maju dan hidup secara bertatasusila.

Keadilan amat penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Adil dari sudut pandangan Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Golongan yang lemah seperti golongan miskin dalam masyarakat Islam perlu diberi bantuan dan perhatian supaya mereka dapat hidup seperti anggota masyarakat yang lain. Golongan hamba pula diberi layanan yang baik dan digalakkan untuk diberi kebebasan. Islam juga lebih menekankan persamaan taraf antara sesama manusia.

Aqidah yang benar iaitu mempercayai Allah yang Maha Esa dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dianggap ciri utama manusia yang bertamadun. Tanpa aqidah yang benar manusia hidup dalam kesesatan seperti masyarakat Arab Jahiliah.

Masyarakat Islam terdiri daripada berbilang bangsa telah membentuk sebuah masyarakat yang memainkan pelbagai peranan. Perbezaan peranan ini telah melahirkan pembahagian kerja dan seterusnya mewujudkan suatu bentuk ekonomi bandar. Islam mewajibkan setiap individu dalam masyarakat menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka dikehendaki sentiasa membaiki kerja mereka serta bekerjasama dengan orang lain demi kepentingan masyarakat. Setiap individu bebas memilih peranan mereka sebagai anggota masyarakat dan dengan itu berlaku mobiliti sosial kerana mereka tidak terikat dengan pekerjaan warisan seperti dalam kebanyakan tamadun yang terdahulu.

Tamadun Islam telah memberikan sumbangan yang paling cemerlang dalam bidang sains dan teknologi. Islam telah melahirkan ramai tokoh intelektual yang mngemukakan banyak penemuan baru. Antaranya seperti al-Biruni, al-Kindi dan Ibn Sina. Di samping menggalakkan perkembangan sains dan teknologi, Islam tidak mengabaikan aspek-aspek akhlak. Akhlak yang mulia merupakan amalan hidup manusia yang bertamadun. Bagi agama Islam masyarakat yang tidak berakhlak tidak dianggap bertamadun walaupun mereka maju dalam aspek kehidupan yang lain. Nabi Muhammad s.a.w diutuskan ke dunia bertujuan untuk menyempurnakan akhlak manusia yang rosak pada zaman jahiliah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan