Jumaat, 17 Julai 2009

SISTEM PEMERINTAHAN EMPAYAR (SEJARAH STPM 1)

Konsep empayar

Entiti politik yang dikenali empayar biasanya berasal daripada idea imperialisme yang mencetuskan penaklukan Negara-negara lain. Imperialisme, sebenarnya membayangkan hasrat sesuatu Negara untuk menguasai bangs-bangsa lain. Dalam perkembangan empayar terdapat dua jenis utama iaitu empayar daratan yang berdasarkan penguasaan tanah yang luas seperti empayar Rom dan China dan empayar Samudera (atau maritime) yang bergantung kepada penguasaan laut dan pelabuhan-pelabuhan strategic seperti Srivijaya dan empayar Portugal di Asia.

Ciri-ciri utama sistem pemerintahan empayar

Sistem pemerintahan empayar lazimnya berlaku dalam tiga bentuk iaitu dinasti ( China, India, Mesir ), perkongsian kuasa ( Rom ), Liga ( Trumvirate-kongsi kuasa) contohnya Athens.1.

1.Pelaksanaan konsep hegemoni

Iaitu penduduk-penduduk yang hidup di dalam empayar itu mengalu-alukan pemerintahannya. Rakyat empayar bersedia menerima sistem pemerintahan itu kerana mereka menghormati kuasanya, undang-undang yang adil, keadaan yang aman dan faedah-faedah yang berpunca daripada itu, sistem kebudayaan yang tinggi serta peluang-peluang ekonomi yang boleh memajukan mutu kehidupan dan kemakmuran mereka. Pelaksanaan hegemoni bermaksud juga memerintah dengan persetujuan daripada rakyat yang taat setia kepada kerajaan mereka. Objektif kerajaan empayar ialah menggalakkan asimilasi dan integrasi rakyat empayar. Contoh yang nyata sekali ialah empayar Rom, bangsa-bangsa asing yang dikuasai diberikan kewarganegaraan Rom dan dibenarkan berkhidmat dalam pelbagai peranan pentadbiran Rom dan wilayah-wilayahnya.

2. Menggunakan kekuasaan ketenteraan

Sekiranya hegemoni tidak berjaya mengekalkan perpaduan, para pemerintah biasanya mentadbir empayarnya dengan kekuasaan tentera. Tentera digerakkan untuk menjamin keamanan empayar dan mengelakkan pemberontakan berlaku. Kuasa tentera sering kali disokong dengan pembinaan pelbagai kemudahan seperti kubu-kubu di Eropah Barat pada zaman feudal dan pembinaan Tembok Besar di Negara China. Sistem jalan raya dan pengangkutan juga dimajukan untuk memudahkan pergerakan tentera. Pembinaan jalan raya di Rom telah memudahkan pergerakan tentera Rom ke wilayah-wilayah untuk mematahkan sesuatu pemberontakan di dalam empayar dan juga mempertahankan empayarnya daripada serangan orang-orang Germanic.

3. Pemusatan kuasa kerajaan

Walaupun sesebuah empayar dibahagikan kepad wilayah-wilayah tetapi kuasa kerajaan biasanya terletak di ibu kota empayar. Pemusatan politik adalah selaras dengan pembahagian msyarakat empayar kepada dua kategori iaitu golongan yang berkuasa dan golongan yang ditakluki. Di pusat pemerintahan jawatan-jawatan yang penting dikuasai oleh golongan atasan yang taat setia kepada maharaja manakala di peringkat wilayah ketua pemerintah adalah wakil dari ibu kota yang dibantu oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

4. Wujudnya sistem birokrasi

Apabila hal ehwal pentadbiran menjadi lebih kompleks akibat daripada peluasan empayar lagi, maka sebuah birokrasi yang terdiri daripada pelbagai jabatan diwujudkan untuk melicinkan pentadbiran empayar. Penubuhan birokrasi adalah nyata sekali di empayar Rom dan empayar China.

5. Konsep kehomogenan empayar

Hampir kesemua rejim empayar berhasrat menyatukan empayarnya dengan dasar-dasar untuk memupuk kehomogenan kebudayaan, masyarakat, agama, bahasa dan ekonominya. Misalnya empayar Iskandar Zulkarnain menggunakan kebudayaan Yunani sebagai kayu ukur untuk menyatukan budaya Yunani dan Parsi dengan mewujudkan beberapa pusat Bandar yang berperanan sebagai pusat penyebaran kebudayaan Yunani ke atas penduduk-penduduk tempatan. Perkahwinan campur juga digalakkan antara orang-orang Yunani dengan Parsi untuk membina suatu masyarakat yang seragam. Pada Dinati Han di China ideology Confucianisme dijadikan asas untuk menyatukan masyarakat China. Di Tamadun Rom, budaya Graeco-Roman dianggap sebagai budaya rasmi di seluruh empayar.

6. Memupuk semangat ketahanan mental, fizikal dan spiritual

Contohnya Maharaja Rom dipuja sebagai tuhan. Adalah diketahui bahawa rejim-rejim empayar tidak dapat dikekalkan selama-lamanya. Kemerosotan dan kejatuhan berlaku pada akhirnya disebabkan kelemahan dan gagalnya para pemimpin untuk mengekalkan struktur empayarnya, teknik-teknik dan idea-idea pentadbiran yang ketinggalan zaman, kemerosotan ekonomi serta pemberontakan dan serangan luar.

7. Wujudnya sistem naungan ekonomi.

Contoh negeri-negeri naungan biasanya membayar ufti atau sebahagian daripada hasil diserahkan kepada pemerintah pusat.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya muncul rajim empayar adalah suatu fenomena yang membayangkan psikologi manusia. Menurut Pericles, seorang negarawan Athens pada kurun ke-5 SM, penubuhan empayar adalah adil kerana orang yang kuat haruslah menguasai orang yang lemah. Tetapi prinsip itu adalah bertentangan dengan satu lagi unsur psikologi manusia, iaitu prinsip kebebasan manusia. Jadi empayar adalah suatu sistem kerajaan yang sentiasa bangkit dan jatuh dalam sejarah tamadun manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan