Ahad, 26 Julai 2009

SEJARAH 2 BAHAGIAN A

. Jelaskan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membanteras ancaman komunis sehingga tahun 1960.

Pendahuluan (3/2 m)

Pada tahun 1948 Parti Komunis Malaya (PKM) telah bertindak semakin ganas dan mengambil keputusan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata kerana gagal mengambil alih kuasa secara perlembagaan. Strategi gerakan komunis di Tanah Melayu dibahagi kepada tiga peringkat, iaitu melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mewujudkan zon bebas daripada kerajaan dan melancarkan serangan secara terbuka. Kemuncak kepada keganasan PKM, ialah pembunuhan 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak. Sir Edward Gent, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 19 Jun 1948. Sehubungan dengan perisytiharan darurat beberapa langkah telah diambil untuk membanteras masalah komunis, iaitu pengisytiharan undang-undang darurat, perang psikologi, rancangan Briggs dan sebagainya.

Isi - (20 m)

i) Perisytiharan Undang-undang darurat

a) Langkah pertama yang dilakukan oleh kerajaan ialah mengisytiharkan undang-undang darurat pada 7 Julai 1948. Tujuan undang-undang darurat diperkenalkan adalah untuk mengawal keselamatan Tanah Melayu. Melalui undang-undang darurat kerajaan telah mengharamkan parti-parti politik atau pertubuhan berhaluan kiri untuk menghalang mereka daripada terlibat dalam kegiatan komunis. Pemimpin-pemimpin politik berhaluan kiri diberkas dan dipenjarakan seperti Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad. Antara parti-parti politik yang dibubarkan ialah Parti Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) dan beberapa badan lain seperti Angkatan Pemuda Insaf ( API ) dan Angkatan Wanita Sedar ( AWAS).

b) Melalui undang-undang darurat kerajaan boleh menangkap tanpa bicara sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis. Kerajaan juga boleh membuang negeri sesiapa yang dianggap menganggu atau mengugat keamanan negara. Bagi orang Cina dan India mereka yang terlibat dengan kegiatan komunis akan dihantar pulang ke China atau India. Pada akhir tahun 1948 seramai 5100 telah ditahan di bawah Undang-undang Penahanan. Tempat penahanan yang terbesar ialah di Taiping dan Batu Gajah , Perak.

c) Melalui undang-undang darurat, setiap penduduk di Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas mesti mendaftar diri dan wajib memiliki kad pengenalan yang harus dibawa bersama-sama. Langkah ini diambil bertujuan untuk memudahkan pasukan keselamatan mengenal pasti setiap penduduk dan membezakan mereka dengan komunis dan setiap langkah mereka dapat diawasi. Melalui kad pengenalan pihak kerajaan dapat mengesan orang yang memberi bantuan kepada komunis. Kad pengenalan juga digunakan untuk mendapatkan bekalan makanan dan tapak rumah di kawasan kampung baru.

d) Melalui penguatkuasaan Undang-undang Darurat, kerajaan juga memperkenalkan beberapa peruntukan khas yang membolehkan seseorang ditahan tanpa had masa dan tanpa bicara. Undang-undang darurat memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memenjarakan seseorang sehingga sepuluh tahun, jika memiliki dokumen subversif atau membantu kegiatan komunis, menembak sesiapa sahaja jika berada di kawasan hitam, memindahkan sesiapa saja yang didapati bersubahat dengan komunis dan mengadakan sekatan makanan di tempat-tempat tertentu serta menangkap sesiapa sahaja tanpa waran bagi melemahkan kesatuan-kesatuan sekerja yang didapati menyokong komunis.

ii) Langkah Ketenteraan

a) Melalui undang-undang darurat juga kerajaan telah memperkuatkan bidang ketenteraan. Pada tahun 1952, Sir Gerald Templer telah bertindak menambahkan pasukan tentera. Pasukan Polis Persekutuan telah diperbesarkan dan terdiri daripada 70,000 orang. Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi 7 batalion. Pasukan Pengawal Kampung ditambah menjadi 250,000 orang.Tentera kerajaan juga dibantu oleh tentera-tentera dari negara-negara Komanwel seperti Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur. Hasil daripada penambahan kekuatan tentera ini pihak kerajaan dapat melancarkan serangan lebih agresif dan dapat mematahkan gerakan komunis di hutan.

b) Di samping itu, kerajaan juga menyediakan pasukan-pasukan polis bantuan diadakan khas untuk mengawal kawasan-kawasan lombong bijih timah dan ladang getah yang sering menjadi sasaran gerila-gerila komunis. Perintah berkurung dikuatkuasakan di kawasan-kawasan di mana kegiatan komunis semakin aktif. Perintah berkurung ini memudahkan pasukan keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis. Kerajaan British juga mengadakan sekatan-sekatan jalan raya di merata-rata tempat di bawah kawalan pasukan keselamatan untuk memastikan supaya komunis tidak mendapat bekalan senjata dan makanan.

c) Pada tahun 1952 ,Sir Gerald Templer telah memperkenalkan ‘kawasan hitam dan ‘kawasan putih’. Kawasan yang komunis bergiat aktif akan diisytiharkan sebagai kawasan hitam. Kawasan ini akan dikawal rapi dan pasukan tentera akan ditambah. Kawasan-kawasan yang mana komunis dikalahkan dan kegiatan komunis berkurangan telah diisytiharkan sebagai ‘kawasan putih’. Kawasan putih yang pertama diisytiharkan ialah Melaka.

d) Kerajaan British memperkenalkan perkhidmatan negara yang mewajibkan belia mendapat latihan ketenteraan dan berkhidmat dalam tentera jika perlu. Perintah berkurung juga dikuatkuasakan di kawasan-kawasan yang kegiatan komunis masih aktif. Perintah berkurung ini memudahkan pasukan keselamatan mengenal dan mengesan pengganas-pengganas komunis.

iii) Rancangan Briggs

a) Pada tahun 1950, Leftenan Jeneral Sir Harold Briggs dilantik menjadi Pengarah Gerakan di Tanah Melayu. Tugas utamanya ialah menamatkan keganasan komunis dan menamatkan darurat dan melaksanakan koordinasi antara pihak perkhidmatan awam dengan pasukan keselamatan . Bagi mengatasi masalah komunis Briggs telah mengumpulkan para setinggan yang bertaburan di pinggir-pinggir hutan ke petempatan berkelompok yang dikenali sebagai Kampung-kampung Baru. Tujuan utama Kampung-kampung Baru diperkenalkan ialah memutuskan hubungan komunis dengan masyarakat setinggan yang menjadi tali barut.

b) Kebanyakan setinggan yang dipindahkan ke Kampung-kampung Baru, ialah orang Cina. Hubungan mereka dengan komunis diputuskan sama sekali kerana Kampung-kampung Baru dipagar kawat dan dikawal rapi oleh pasukan keselamatan supaya kawalan lebih terjamin. Rancangan Briggs membawa serampang dua mata iaitu Masyarakat Min Yuen terlindung daripada ancaman dan ugutan pengganas komunis dan pihak kerajaan dapat melemahkan kegiatan komunis kerana mereka akan kekurangan maklumat, senjata, bekalan makanan dan ubat-ubatan. Rancangan ini juga dikenali sebagai ‘Gerakan Kelaparan’.

c) Melalui Rancangan Briggs pembinaan Kampung-kampung Baru telah mula dilaksanakan di Johor dan sehingga akhir tahun 1952 sebanyak 480 buah kampung baru di seluruh Tanah Melayu telah wujud. Hampir separuh daripada kampung baru terletak di Perak dan Johor. Kebanyakan Kampung Baru disediakan kemudahan asas seperti sekolah, klinik ,pasar, bekalan air dan elektrik, balai polis rumah ibadat dan kemudahan-kemudahan lain.Rancangan Briggs telah berjaya menjamin perlindungan nyawa harta benda rakyat dan menyekat komunis daripada terus mengganas dan menakut-nakutkan penduduk dan dapat menghalang penyusupan fahaman komunis.

d) Selain Rancangan Kampung-kampung Baru, Briggs juga telah membentuk Jawatankuasa Kerja Perang di peringkat Persekutuan ,negeri dan daerah. Jawatankuasa Kerja Perang terdiri daripada Lef.Jeneral Briggs, Ketua Setiausaha, Pesuruhjaya Polis dan komender-komender angkatan tentera darat dan udara Tanah Melayu. Jawatankuasa Kerja Perang ini bekerjasama dengan pegawai-pegawai tadbir, tentera dan polis. Pengerusi jawatan kuasa ini di peringkat negeri ialah Menteri Besar dan di peringkat daerah ialah pegawai daerah. Penubuhan Majlis Perang Persekutuan dan Jawatankuasa Kerja Perang telah mewujudkan koordinasi antara semua pihak yang terlibat dalam perancangan gerakan menentang komunis.

iv) Perang Saraf

a) Selain itu juga, Sir Malcolm MacDonald iaitu Pesuruhjaya Tinggi Inggeris telah membentuk sebuah Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada awal tahun 1949. Jawatan kuasa ini berusaha mengikis perasaan perkauman. Ini terbukti berjaya apabila berlakunya gabungan antara UMNO dan MCA dalam Perikatan 1952. Dengan gabungan ini perselisihan faham antara kaum Melayu dan Cina dapat diatasi. Kedua-dua kaum ini telah bekerjasama membasmi kegiatan komunis.

b) Sir Gerald Templer telah melancarkan pelbagai perang psikologi untuk menarik ‘hati dan fikiran rakyat bagi membanteras kegiatan komunis. Pada tahun 1952 , beliau telah meminda peraturan-peraturan kewarganegaraan. Syarat-syarat mendapat kewarganegaraan dilonggarkan supaya lebih ramai orang bukan Melayu terutama kaum Cina menjadi warga negara Tanah Melayu. Langkah ini diambil bertujuan supaya orang-orang Cina tidak menyokong dan memihak kepada komunis.

c) Langkah seterusnya ialah menggalakkan penubuhan parti-parti politik bukan Melayu ditubuhkan. Penubuhan MCA oleh Tan Cheng Lock dan beberapa pemimpin Cina lain telah menyatukan orang Cina dan mengalihkan perhatian orang Cina daripada PKM kepada Tanah Melayu. Parti politik yang berorientasikan Tanah Melayu seperti MCA dapat mengalihkan pandangan masyarakat Cina yang sebelum ini tertumpu kepada kegiatan politik di negara China.

d) Kerajaan Inggeris juga mengambil langkah supaya Tanah Melayu berkerajaan sendiri. Sebagai langkah pertama pilihan raya Majlis Perbandaran telah diadakan . Tujuannya adalah untuk mewujudkan perasaan tanggungjawab dalam kalangan rakyat. Pilihan raya pertama diadakan bagi Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Dalam pilihan raya ini UMNO dan MCA membentuk Perikatan.

e) Di samping itu, hadiah wang tunai yang lumayan juga ditawarkan kepada orang ramai yang memberikan maklumat yang membolehkan kerajaan menangkap pengganas komunis mulai April 1955. Ganjaran yang ditawarkan berbeza mengikut jawatan dalam PKM. Jawatan Setiausaha Agung ( Chin Peng ) RM 250,000, Ahli Biro Politik RM 200,000, Ahli Jawatankuasa RM 150,000, Ahli Jawatan kuasa Negeri dan Daerah RM 120,000 dan anggota biasa RM 2,500 –RM 2000. Kerajaan juga menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada ahli komunis bagi memulakan penghidupan baru jika mereka menyerahkan diri secara sukarela. Tawaran ini dilakukan dengan menggugurkan risalah dari udara ke dalam hutan. Akibat langkah-langkah ini ancaman komunis semakin berkurangan.

v) Rundingan Baling

a) Rundingan Baling diadakan pada 28 dan 29 Disember 1955. Kerajaan diwakili oleh Tunku Abdul Rahman , David Marshall dan Tan Cheng Lock. Manakala, pihak komunis diwakili oleh Chin Peng, Chen Tian dan Rashid Maidin. Dalam rundingan ini pihak kerajaan telah menawarkan pengampunan beramai-ramai kepada komunis dan anggota komunis yang menyerah diri akan dilayan sebagai rakyat biasa. Pihak komunis pula menuntut agar kerajaan mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik yang sah dan boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya. Kerajaan enggan mengiktraf PKM dan ini menjadi faktor kepada kegagalan rundingan Baling kerana PKM tidak mahu menerima tawaran kerajaan selagi kerajaan enggan memenuhi tuntutan mereka.

Kesimpulan (2/3 m)

Pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan bagi membanteras ancaman komunis. Usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan telah berjaya menyekat ideologi komunis daripada disebarkan di Tanah Melayu. Walaupun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan berjaya menyekat pengaruh komunis ia telah banyak mengorbankan nyawa, wang dan masa. Setelah komunis dapat ditewaskan kerajaan British telah menyediakan Tanah Melayu bertaraf berkerajaan sendiri dan seterusnya memberkani kemerdekaan kepada Tanah Melayu tanpa perlu berjuang secara kekerasan.

1 ulasan:

  1. sila layari laman web ini http://ads4bucks-baizura1989.blogspot.com untuk ketahui rahsia jana pendapatan sehingga RM500 sehari!

    BalasPadam